Kanak-kanak 2 tahun maut jatuh dari kerusi bayi

0
12
Gambar hiasan

JOHOR BAHRU – Seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun meninggal dunia selepas kepalanya terhentak ke lantai ketika jatuh dari kerusi bayi di sebuah restoran, semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Superintendan Fariz Ammar Abdullah berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 3 petang ketika kanak-kanak itu sedang makan bersama keluarganya di sebuah restoran dekat Taman Sutera di sini.

Katanya, siasatan awal mendapati, sewaktu makan mangsa menolak meja menggunakan kakinya menyebabkannya terjatuh bersama kerusi bayi berkenaan.

“Ketika terjatuh, kepala kanak-kanak itu terhentak pada lantai dan mangsa dikatakan menangis sebelum pengsan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kejadian disaksikan pekerja restoran terbabit sebelum bapa kanak-kanak itu bergegas membawanya ke klinik swasta, namun dinasihatkan doktor untuk dihantar terus ke hospital berikutan keadaannya dilihat serius.

“Bapa kanak-kanak itu kemudian membawanya ke sebuah hospital swasta di Iskandar Puteri sebelum disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan yang bertugas,” katanya.

Beliau berkata, mayat kanak-kanak itu kemudian dibawa ke Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini, untuk bedah siasat bagi mengetahui punca sebenar kematian.

“Sehingga kini tiada sebarang unsur jenayah dikesan dalam kejadian itu, bagaimanapun siasatan lanjut masih diteruskan.

“Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here