Kemalangan ngeri di Sedenak, bukan seorang tetapi dua rentung

0
86

KULAI – Tragedi kemalangan ngeri di Kilometer 45.7 Lebuhraya Utara Selatan arah Selatan di sini, malam semalam membabitkan empat kenderaan dengan dua mangsa maut rentung di lokasi kejadian.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Renggam, Mohd Fauzi Md Nor berkata, mangsa yang maut ialah penumpang Proton Wira iaitu Nurul Nazihah Kamalul Arifin, 28.

Katanya, seorang lagi mangsa yang maklumatnya tidak diketahui berada dalam Toyota Vios yang turut terbabit dalam kemalangan itu.

“Kemalangan membabitkan empat kenderaan dan enam mangsa iaitu dua maut, manakala empat selamat.

“Pihak kami menerima panggilan berhubung kejadian jam 7.47 malam. Kemalangan membabitkan lori jenis Isuzu yang terbakar 70 peratus, Proton Wira dan Toyota Vios masing-masing 90 peratus, dan Proton Preve.

“Terdapat seorang mangsa di bahagian tempat duduk penumpang kereta Proton Wira yang tersepit dan ditemui rentung manakala pemandu berjaya menyelamatkan diri.

“Seorang lagi mangsa ditemui rentung dalam kereta Toyota Vios. Dua mangsa yang menaiki lori Isuzu dikenali sebagai S.Suresh, 38 dan Mok You Jian, 22, selamat dan tidak mengalami kecederaan.

“Pemandu Proton Preve, Bunayami Yahya, 43 juga selamat,” katanya dalam kenyataan di sini, malam hari ini.

Mohd Fauzi berkata, ketika ini, operasi pemadaman masih berjalan yang dilakukan 18 anggota dari BBP Renggam, BBP Kulai dan BBP Ayer Hitam.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here