Kepimpinan guru yang bersih, amanah mampu lahirkan generasi murid lebih hebat – Radzi

0
12
Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin berucap dalam Majlis Perasmian Mustaqa Pengetua dan Guru Besar Sekolah Agama KPM keenam tahun 2022 di Hotel Summit USJ

KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan (KPM) akan terus menerapkan amalan ajaran Islam termasuk menekankan kepentingan kepimpinan yang bersih dan amanah dalam kalangan pihak pengurusan sekolah bagi melahirkan generasi yang hebat pada masa akan datang.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin berkata, ini kerana generasi yang hebat akan sentiasa melahirkan generasi seterusnya yang lebih hebat.

“KPM sentiasa berusaha untuk meningkatkan kecekapan kepimpinan sekolah selari dengan elemen dan nilai murni.

“Ini termasuk penerapan dan amalan ajaran Islam, termasuk menekankan kepentingan kepimpinan yang bersih, amanah, prihatin dan pada masa yang sama cekap dan profesional.

“Ingatlah bahawa generasi yang hebat akan sentiasa melahirkan generasi seterusnya yang lebih hebat. Apabila diberi amanah, laksanakan sebaiknya demi memastikan pendidikan terbaik untuk anak-anak,” katanya dalam satu hantaran dalam laman Facebooknya hari ini.

Terdahulu, semalam beliau bersama-sama hampir 400 orang pengetua dan guru besar serta pegawai KPM hadir dalam Majlis Perasmian Mustaqa Pengetua dan Guru Besar Sekolah Agama KPM keenam tahun 2022 di Hotel Summit USJ di sini

Mengulas lanjut, katanya, dalam konteks pengurusan sekolah agama, peranan pengetua dan guru besar amat penting dalam menerajui kepimpinan sekolah dan melancarkan pelaksanaan dasar pendidikan.

Sehubungan itu beliau berharap semua pengetua dan guru besar SMKA dan SABK terus istiqamah dan komited dalam membentuk generasi baharu dengan peribadi yang baik dan berilmu pengetahuan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here