Keputusan bubar 3 DUN Pas diketahui esok

0
9
AHMAD SAMSURI

KUALA TERENGGANU – Keputusan sama ada tiga Dewan Undangan Negeri (DUN) di bawah pentadbiran Pas dibubarkan atau tidak selaras dengan pembubaran Parlimen ke-14 akan diketahui esok.

Laporan Bernama menyebut, Naib Presiden Pas, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar sebagai berkata, keputusan membabitkan DUN Terengganu, Kelantan dan Kedah itu akan diumum selepas Mesyuarat Jawatankuasa Pas Pusat di Kuala Lumpur, esok.

Beliau berkata, hal berkaitan pembubaran ketiga-tiga DUN difahamkan telah dibincangkan semalam (Selasa) untuk dibawa ke mesyuarat jawatankuasa penuh Pas Pusat esok.

“Saya tidak boleh mendahului mesyuarat, saya percaya lepas mesyuarat esok akan ada keputusan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Koperasi Pegawai-Pegawai Tadbir Negeri Terengganu Bhd 2022 di Wisma Darul Iman, di sini hari ini.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pembubaran Parlimen ke-14 berkuat kuasa 10 Okt untuk memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) selepas diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah.

Susulan pembubaran Parlimen ke-14, Ismail Sabri turut mengesyorkan ketua kerajaan negeri kecuali Sabah, Sarawak, Melaka dan Johor supaya mendapatkan perkenan sultan serta yang dipertua negeri untuk membubarkan DUN masing-masing bagi membolehkan pilihan raya negeri dan Parlimen diadakan serentak.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here