Kerajaan komited terus pelihara kebajikan anggota, pesara pasukan beruniform – PM

0
10
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob beramah mesra bersama dengan anggota dan pesara polis dalam Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan
Persatuan Polis Pahang hari ini.

BERA – Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan komited untuk terus memelihara kebajikan
pasukan beruniform tanah air dan para pesara.

Perdana Menteri berkata, justeru beberapa inisiatif telah dilakukan antaranya dengan memperuntukkan RM118 juta untuk menyelenggara Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT).

Beliau berkata, pada masa sama kerajaan bercadang untuk membina RKAT baharu pelbagai
kelas di Pangkalan Udara Butterworth Pulau Pinang
selain 12 projek pembinaan RKAT yang sedang
berjalan.

“Selain itu, sebanyak RM42 juta diperuntukkan bagi membaik pulih dan menaik taraf kuarters kediaman PDRM dan RM28 juta sebagai peruntukan 2023 bagi meneruskan tiga projek pembinaan kuarters di bawah Jabatan Penjara antaranya di Pusat Koreksional Labuan dan Akademi Koreksional Malaysia.

“Pada masa sama turut diberikan ialah pemberian 50 peratus diskaun ke atas pengangkutan awam di bawah kendalian Prasarana kepada 21,000 pemegang kad veteran ATM dan kad pesara Polis di Kuala Lumpur, Selangor, Pahang dan Pulau Pinang.

“Saya berharap segala inisiatif tersebut dapat dilaksanakan demi membela nasib pesara anggota PDRM negara dan harapan ini akan menjadi kenyataan jika kerajaan yang dipimpin oleh saya terus menjadi kerajaan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan
Persatuan Polis Pahang hari ini.

Dalam pada itu, Perdana Menteri turut memberi jaminan isu Tabung Wang Amanah Pencen (TWAP) yang tidak dapat menampung secara konsisten bayaran bantuan kepada para bekas polis negara akan diberi perhatian.

“Saya memberi komitmen bahawa jika kerajaan hari ini akan terus memimpin negara, saya akan mengarahkan Kementerian Dalam Negeri dan Jabatan Perkhidmatan Awam untuk mengkaji perkara ini agar kepentingan pihak persatuan polis akan terus dibela.

“Saya juga mempunyai keyakinan yang tinggi terhadap sumbangan yang dapat diberikan oleh persatuan bekas polis kepada seluruh Keluarga Malaysia denga berbekalkan pengalaman perkhidmatan yang sedia ada serta semangat disiplin yang tinggi,” ujarnya.

Sementara itu menyentuh mengenai Bajet 2023 yang dibentangkan sebelum Parlimen dibubarkan, Perdana Menteri berkata, kerajaan akan terus memperkukuh ketenteraman awam dan keselamatan negara dengan Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Pertahanan Awam (MINDEF) diperuntukkan masing-masing sebanyak RM18.3 bilion dan RM17.4 bilion.

“Tahun 2023, usaha utama kerajaan adalah untuk melaksanakan pembelian dan penyelenggaraan aset ATM bagi meningkatkan kesiagaan pertahanan dengan peruntukan hampir RM4 bilion.

“Kedua, pembelian dan penyelenggaraan aset
PDRM bagi meningkatkan keselamatan dalam
negeri dengan peruntukan RM431 juta. Ketiga, penyelenggaraan semua kapal dan bot APMM bagi memastikan keselamatan kawasan maritim negara dengan peruntukan RM485 juta.

“Keempat, perolehan alat pengimbas badan dan
menaik taraf fasiliti di lima penjara antaranya
Penjara Seremban, Negeri Sembilan dengan
peruntukan RM18 juta dan kelima, penambahan 25
pos kawalan sempadan PGA, Imigresen, ESSCOM, APMM antaranya di Serikin, Sarawak dan Lahad Datu, Sabah,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here