Kerajaan lupus hutang Felcra RM233.8 juta

0
21
ISMAIL Sabri Yaakob menyampaikan cek dividen projek peserta-peserta Felcra Berhad di Arena Merdeka di Tapah hari ini. Foto Utusan

TAPAH – Hutang lapok peneroka Felcra Berhad berjumlah RM233.8 juta akan dilupuskan bagi mengurangkan beban golongan itu menanggung pulangan pendapatan rendah daripada projek tidak berdaya maju.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira ketidak mampuan peneroka untuk membayar komitmen hutang itu.

Beliau berkata, sehingga Disember tahun lalu, sebanyak 323 projek Felcra di seluruh negara dengan keluasan 22,173 hektar dikenal pasti sebagai projek kurang berdaya maju.

“Kalau hasilnya kurang, saya faham macam mana mahu bayar hutang. Kalau kita potong, lagi sesak. Kerajaan sedar perkara ini.

“Saya sudah dirujuk oleh Pengerusi Felcra mengenai perkara ini dan pada dasarnya kerajaan bersetuju menghapus hutang peserta-peserta ini. Ia akan melibatkan kos RM233.8 juta,” katanya.

Ismail Sabri berkata demikian ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra Perdana Menteri Bersama Peserta Felcra Berhad, Pekebun Kecil Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) dan Warga Orang Asli di Arena Merdeka di sini hari ini.

Turut hadir, Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.

Bagaimanapun Ismail Sabri berkata, proses pelupusan hutang itu perlu dilakukan dengan mengikut peraturan dan dibentang di Kabinet.

Kata beliau, pelaksanaannya akan dilakukan sebaik sahaja beliau dan ahli-ahli Parlimen bermesyuarat di Parlimen.

Sementara itu, Ismail Sabri turut mengumumkan, seramai 74,949 peserta Felcra di seluruh negara menerima bayaran dividen membabitkan nilai keseluruhan RM181.5 juta bagi pembayaran Keuntungan Boleh Agih Interim 2/2022.

Beliau berkata, bayaran berkenaan akan dibuat secara berperingkat mulai hari ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here