Kerajaan peruntuk RM1.215 bilion selesaikan masalah bekalan air di Pahang

0
15
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (tengah) dalam Program Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia Negeri Pahang di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sultan Ahamad Shah di sini, hari ini.

KUANTAN – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan dana sebanyak RM1.215 bilion akan dibelanjakan bagi  menyelesaikan masalah bekalan air di Pahang.

Menurut Ismail Sabri, yang juga merupakan Ahli Parlimen Bera, perbelanjaan tersebut merangkumi dua loji rawatan air baharu, lima projek penambaikan loji rawatan air dan muka sauk, tujuh projek pembinaan tangki air dan satu Program Non Revenue Water (NRW). 

“Sejumlah RM1.215 bilion akan dibelanjakan untuk pembinaan dua loji rawatan air baharu, lima projek penambaikan loji rawatan air dan muka sauk, tujuh projek pembinaan tangki air untuk sistem agihan dan satu Program Non Revenue Water (NRW) bagi membantu menyelesaikan masalah bekalan air di Pahang,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian Program Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia Negeri Pahang di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sultan Ahamad Shah di sini, hari ini. 

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, kecekapan tadbir urus kerajaan juga membolehkan negara keluar daripada kemelut yang bermula dengan pandemik Covid-19.

Katanya, prestasi ekonomi negara adalah yang terbaik di Asia Tenggara dengan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 8.9 peratus pada suku kedua berbanding 5.0 peratus pada suku pertama tahun 2022.

“Kerajaan juga berjaya mengembalikan pasaran buruh ke tahap guna tenaga penuh. Kadar pengangguran pada Ogos lalu iaitu 3.7 peratus jauh lebih rendah berbanding Ogos tahun lalu iaitu 4.6 peratus.

“Alhamdulillah, Malaysia juga diiktiraf sebagai negara ke-18 paling aman di dunia daripada 163 negara dan kedua di Asia berdasarkan Indeks Keamanan Global (GPI) 2022 yang mengukur kedamaian global di dunia,” katanya.

Selain itu, katanya lagi, kerajaan juga akan menyediakan RM1.8 billion bagi projek tebatan banjir dan baik pulih hakisan pantai untuk menghadapi monsun timur laut.

“RM1.8 billion disediakan di bawah projek tebatan banjir dan baik pulih hakisan pantai termasuk di Kampung Tanjung Batu, Pekan dan Rancangan Pemulihan Koridor Sungai Triang dan Sungai Semerting Mukim Pelangai di Bentong serta Pelan Induk Saliran Mesra Alam Bandar Bera.

Tambah Ismail lagi, kerajaan juga menitikberatkan sektor pendidikan dan kesihatan dengan pembinaan dua buah klinik kesihatan baharu dan 40 projek baharu dan sambungan sekolah serta institusi pendidikan seluruh Pahang. 

“Dalam bidang kesihatan, sebanyak dua buah Klinik Kesihatan juga sedang dibina dengan Kuarters Bandar Raub dan Kuala Triang, Bera dengan peruntukan sebanyak RM40 juta yang dijangka siap tahun hadapan.

“Dalam sektor pendidikan di Pahang, terdapat 40 projek baharu dan sambungan sekolah serta institusi pendidikan dengan kos RM754 juta di bawah Rolling Plan Kedua RMK- 12 Tahun 2022. 

“Daripada jumlah tersebut, sebanyak 13 projek telah siap sepenuhnya, 18 projek sedang dalam peringkat pelaksanaan dan 9 projek berstatus prabina,”ujarnya lagi. 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here