Kesemua bekas kakitangan Utusan Melayu wajar terima pembelaan

0
367
Bekas bangunan milik Utusan Melayu di Jalan Chan Sow Lin, Cheras, Kuala Lumpur.

CYBERJAYA – Kesemua bekas pekerja Utusan Melayu (M) Berhad yang diberhentikan perlu mendapat pembelaan yang sama seperti bekas kakitangan yang terlibat dengan Skim Pemisahan Sukarela (VSS).

Tokoh Wartawan Negara, Tan Sri Johan Jaafar berkata, nasib kakitangan termasuk baki yang tidak terlibat dalam VSS tidak sepatutnya dilupakan kerana ‘hilang mata pencarian’ dalam sekelip mata selepas terhentinya operasi syarikat itu.

“Kesemua mereka telah menanggung penderitaan yang luar biasa akibat diberhentikan tanpa pampasan yang sewajarnya.

“Sebahagian besar daripada mereka yang hilang mata pencarian hidup dalam keadaan yang sangat mencabar beberapa tahun kebelakangan ini,” katanya dalam kenyataan, baru-baru ini.

Johan yang merupakan bekas Ketua Pengarang dan Ahli Lembaga Pengarah Utusan Melayu (M) Berhad berkata, pemberhentian kakitangan Utusan adalah sesuatu yang mendukacitakan dan perlu diberikan pembelaan.

“Sumbangan para wartawan dan petugas Utusan Melayu harus sentiasa dihargai. Apa yang berlaku pada mereka selepas penutupan syarikat adalah sejarah getir dunia kewartawanan negara, khususnya kewartawanan Melayu.

Dalam pada itu, Johan menyambut baik keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 25 Oktober lalu yang memutuskan 159 bekas pekerja yang terlibat dalam VSS mendapat baki bayaran penyelesaian hasil penjualan 29 harta milik syarikat tersebut.

“Saya menggesa pihak pelikuidasi (UHY Advisory) yang diberikan amanah memastikan pekerja yang terlibat dalam VSS mendapat pampasan mereka secepat mungkin.

“Sebelum ini mereka telah menuntut pemilik baharu serta majikan menunaikan janji untuk melangsaikan bayaran baki VSS menggunakan dana hasil penjualan hartanah milik UMMB,” ujar bekas pengerusi Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) itu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here