Kos PRU15 dan PRK Bugaya dianggarkan RM1.01 bilion

0
5
GAMBAR HIASAN

PUTRAJAYA – Kos bagi mengadakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dan Pilihan Raya Negeri (PRN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Bugaya di Sabah dianggarkan mencecah RM1.01 bilion.

Perkara itu dimaklumkan oleh Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Ghani Salleh, hari ini.

“PRU-15 dan PRK DUN N.66, Sabah ini dianggarkan memerlukan peruntukan sebanyak RM1.01 bilion,” katanya dalam satu kenyataan akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat khas bagi menetapkan tarikh PRU15 dan PRK DUN Bugaya, Sabah.

Tambah Abdul Ghani, sejumlah 21,173,638 pengundi direkodkan akan keluar mengundi bagi PRU15 yang ditetapkan pada 19 November depan.

Jumlah itu adalah berdasarkan kepada daftar pemilih terkini tambahan yang didaftarkan sehingga Ogos 2022 yang dikemaskini sehingga 9 Oktober lalu.

Daftar Pemilih Pilihan Raya (DPPR) bagi PRU-15 mengandungi seramai 21,173,638 orang pemilih yang terdiri daripada 20,905,366 orang pengundi biasa, 146,737 orang tentera serta pasangan, 118,794 orang polis serta pasangan Polis Pasukan Gerakan Am (PGA) dan 2,741 orang Pengundi Tidak Hadir Luar Negara.

DPPR bagi PRU-15 dijadualkan akan mula dijual pada 31 Oktober 2022, katanya.

Sejumlah 363,515 petugas SPR dilantik bagi mengendalikan proses PRU15 dan PRK Bugaya, manakala sebanyak 8,958 buah pusat mengundi biasa yang mengandungi 38,348 tempat mengundi/saluran dan 578 pusat mengundi awal bagi pengundian yang mengandungi 970 tempat mengundi/saluran awal akan digunakan.

“Keseluruhan jumlah pusat mengundi adalah sebanyak 9,536 buah dengan 39,318 tempat mengundi dan saluran,” tambahnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here