KPLB pandang serius isu keciciran pendidikan masyarakat Orang Asli 

0
6
Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid menghadiri sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Perunding Orang Asli (MPOA) 2022 di Cyberview Resort and Spa di sini, hari ini. Kredit foto – Najmi Zulkefle.

CYBERJAYA – Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) memandang serius isu keciciran pelajaran dalam kalangan masyarakat Orang Asli di seluruh Semenanjung yang melebihi 10 peratus.

Menurut Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid, berdasarkan statistik terkini, kehadiran ke sekolah bagi murid-murid sekolah rendah dalam kalangan masyarakat Orang Asli mencapai 80 peratus.

“Antara faktor yang menyebabkan pelajar-pelajar ini tidak ke sekolah adalah masalah pengangkutan, keluarga dan tidak mengambil berat mengenai pendidikan kerana ia bukanlah keutamaan untuk mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Perunding Orang Asli (MPOA) 2022 di Cyberview Resort and Spa di sini, hari ini.

Katanya, mesyuarat yang kali terakhir dilakukan pada 2017 itu juga menyentuh mengenai kesihatan, pengangkutan dan pewartaan tanah Orang Asli di Semenanjung.

“Dalam aspek kesihatan, antara perkara yang dibangkitkan adalah menyarankan kerajaan pertimbang memperbanyakkan pusat rawatan berpusat di beberapa penempatan Orang Asli bagi mengatasi isu kos,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, KPLB juga giat menjalankan kerjasama dengan kementerian-kementerian yang berkaitan seperti Kementerian Kesihatan (KKM) dan Kementerian Pendidikan (KPM) bagi menyelesaikan isu-isu yang dibangkitkan.

“Kita menyediakan perkhidmatan seperti pengangkutan murid sekolah, penyediaan bantuan pakaian seragam ke sekolah bagi tahun 1 sekolah rendah dan tingkatan satu sekolah menengah, bantuan insentif wang saku dan beberapa bantuan kewangan mengikut skop dan beberapa bantuan kewangan lain,” ujarnya lagi.

Sementara itu Mahdzir berkata, setakat Disember 2021, sebanyak 40,600 hektar tanah Orang Asli yang telah diwartakan kepada masyarakat Orang Asli dengan melibatkan 215 kampung.

“Pewartaan itu dibuat melalui Akta Orang Asli 1954 membabitkan penempatan kediaman, ladang dan dusun buah-buahan, manakala 638 kampung lagi masih dalam proses pewartaan oleh kerajaan negeri,” katanya.

Untuk rekod tedapat 853 buah kampung Orang Asli di seluruh Semananjung dengan Pahang, Kelantan dan Perak mencatatkan penempatan tertinggi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here