KPM laksanakan semakan semula silibus pendidikan

0
36
Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin beramah mesra bersama murid pada sesi pengenalan sukan Touch bersama Jurulatih ternama Peter Walter di Sekolah Kebangsaan Putrajaya Presint 16 (1), Putrajaya.MALAKAT TRIBUNE/MIM FADLIZAL ROZAIMAN

PUTRAJAYA – Kementerian Pendidikan (KPM) sedang melaksanakan proses semakan semula terhadap silibus yang digunakan di sekolah rendah dan menengah.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Mohd, Radzi Mat Jidin berkata, silibus di sekolah rendah dan menengah yang diguna pakai ketika ini mula diperkenalkan pada tahun 2017.

Jelasnya lagi, mengikut pendekatan yang diguna pakai dalam sistem pendidikan negara selama ini, silibus tersebut akan melalui satu pusingan tempoh pendidikan.

“Bagi murid sekolah rendah, silibus ini diperkenalkan pada tahun 2017.

“Silibus itu kemudiannya akan digunakan sepanjang tempoh pendidikan murid tersebut hingga tahun 2022 apabila murid berada pada Tahun Enam, maka lengkap satu pusingan,” kata Mohd. Radzi, hari ini.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas sesi memperkenalkan jurulatih Sukan Touch, Peter Walters di Sekolah Kebangsaan Presint 16(1), di sini hari ini.

Bagi sekolah menengah pula, kata Radzi, pusingannya lengkap pada tahun 2021 apabila pelajar berada pada Tingkatan Lima.

Berkenaan semakan semula silibus berkenaan, Mohd. Radzi berkata, KPM sentiasa terbuka menerima pandangan semua pihak termasuk ibu bapa.

“Kita terbuka mengambil pandangan semua pihak, dalam konteks kita pada waktu ini sedang laksanakan semakan semula pada silibus yang ada.

“Kita akan keluarkan silibus baharu selepas selesai pusingan ini,” kata Radzi lagi.

Beliau turut menasihati orang ramai terutamanya ahli politik supaya lebih jujur ketika membicarakan soal silibus.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here