Lebih 180,000 individu termasuk pengarah syarikat ‘lari’ bayar cukai, LHDN sedia bincang elak cukai tertunggak

0
39
LHDN

BEGITU pantas masa berlalu. Kini kita sudah pun masuk ke suku yang ke-4 tahun 2022. Tanpa disedari, sudah hampir tiga tahun seluruh dunia termasuklah negara kita berperang dengan virus Covid-19 yang menyaksikan kecelaruan dalam sistem sosio-ekonomi.

Namun kini, Malaysia kembali bangkit menjana semula kemakmuran negara setelah turut terkesan dengan serangan Covid-19. Rakyat Malaysia juga
pada masa ini rancak mengatur kembali kedudukan kewangan masing-masing setelah beberapa pakej rangsangan ekonomi yang diberikan oleh pihak kerajaan seperti moratorium dan pengeluaran khas dana dari Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berakhir.

Di sebalik mengatur kedudukan kewangan tersebut, mungkin ada di antara kita yang
terlupa serta mengabaikan tanggungjawab membayar cukai yang sepatutnya dilaksanakan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN). Perlu diakui hakikatnya bahawa dalam Pembentangan Bajet 2022 kerajaan juga telah memperuntukkan sejumlah RM8.2 bilion untuk manfaat 9.6 juta orang di bawah Bantuan Keluarga Malaysia (BKM).

Amaun bayaran tunai BKM ini termasuk dalam
pelbagai pakej subsidi Kerajaan yang berjumlah RM77.3 bilion bagi tahun 2022 sekali gus direkodkan sebagai peruntukan subsidi yang terbesar dalam sejarah negara.

Begitu juga dengan bermacam-macam lagi inisiatif yang dilancarkan oleh Kerajaan bagi memacu pertumbuhan ekonomi negara seperti Inisiatif Jamin Kerja Keluarga Malaysia dan Inisiatif Semarak Niaga Keluarga Malaysia yang diyakini mampu memberikan peluang pekerjaan kepada rakyat untuk kelangsungan hidup dalam era
pasca pandemik Covid-19.

Segala peruntukan ini bukan diperolehi dengan mudah umpama yang bulat datang bergolek dan yang pipih datang melayang, sebaliknya sebahagiannya adalah dari hasil kutipan cukai negara. Hal ini bermakna hasil cukai negara terbukti mempunyai peranan yang amat penting untuk memastikan segala bantuan dapat disalurkan dengan kadar segera kepada segenap lapisan masyarakat yang terjejas demi kesejahteraan mereka.

Gagal Lapor/Bayar Cukai Faktor Tunggakan Cukai Meningkat

Akta Cukai Pendapatan 1967 (ACP 1967) jelas memperuntukkan kewajipan pembayar cukai yang terdiri daripada individu, syarikat dan juga mana-mana pertubuhan untuk mengemukakan Borang Nyata Cukai kepada LHDN pada setiap
tahun.

Kegagalan pembayar cukai mematuhi peruntukan ACP 1967 ini boleh menyebabkan penalti dikenakan yang turut bermaksud amaun cukai yang kena dibayar kepada kerajaan menjadi lebih tinggi kerana adanya penalti. Sudah tentu kita
sebagai pembayar cukai yang berhemah tidak mahu membayar cukai lebih dari sepatutnya yang dikenakan bukan?

Isu tunggakan cukai pula wujud apabila kita gagal membayar kepada LHDN amaun cukai yang dikenakan terhadap kita dalam tempoh yang sepatutnya. Seperti yang ditetapkan oleh undang-undang, bagi individu yang tidak mempunyai punca
pendapatan perniagaan atau yang makan gaji sahaja, mereka perlu melunaskan cukai
tahunan mereka selewat-lewatnya pada 30 April setiap tahun. Manakala bagi individu
yang berniaga, mereka dikehendaki menjelaskan semua amaun cukai tahunan mereka selewat-lewatnya pada 30 Jun setiap tahun.

Sementara itu, bagi syarikat, mereka wajib membayar semua amaun cukai mereka dalam tempoh tujuh (7) bulan selepas tarikh tutup tempoh perakaunan syarikat.

Sekiranya pembayar cukai mengabaikan bayaran cukai ini, maka mereka berkemungkinan akan berhadapan dengan tindakan-tindakan selanjutnya oleh LHDN bagi tujuan pemungutan.

Berdasarkan Rangka Kerja Pungutan Cukai 2021 yang dikemaskini pada 3 Februari 2021, LHDN menyatakan bahawa pembayar cukai boleh
dikenakan tindakan-tindakan seperti yang berikut sekiranya mereka mempunyai isu tunggakan cukai yang menjadi hutang kepada kerajaan sekiranya tidak diselesaikan:

  1. Arahan Potongan Gaji (CP38)
  2. Sekatan perjalanan ke luar negara
  3. Kaveat hartanah
  4. Pelantikan ejen
  5. Tindakan pemungutan kepada pengarah syarikat
  6. Tindakan mahkamah atau guaman sivil

Sehingga 31 Julai 2022 sahaja seramai 186,346 individu termasuk pengarah syarikat dengan jumlah amaun tunggakan cukai berjumlah RM 12.9 billion telah dikenakan tindakan sekatan perjalanan berikutan kegagalan mereka menjelaskan tunggakan cukai kepada kerajaan.

Melihat kepada jumlah tunggakan cukai ini jika ia tidak ditangani sebaik-baiknya oleh LHDN secara tidak langsung ia akan menjejaskan kutipan cukai langsung negara dan berkemungkinan merencatkan program-program pembangunan yang telah direncanakan oleh kerajaan pada masa hadapan.

Oleh yang demikian tindakan penguatkuasaan yang telah dilaksanakan oleh LHDN kepada
golongan-golongan ini merupakan sebagai salah sebuah bentuk keadilan kepada pembayar cukai yang patuh kepada undang-undang percukaian demi kesejahteraan serta kemakmuran Keluarga Malaysia seluruhnya.

LHDN Rakan Perunding Percukaian Anda

Bak kata pepatah “di mana ada kemahuan, di situ ada jalan” yakni setiap masalah yang timbul pasti ada jalan penyelesaiannya, apa yang penting adalah cara kita menghadapi masalah tersebut dan menanganinya dengan rasional. Tegasnya, jangan sesekali lari daripada masalah kerana ia pasti akan terus menghantui hidup kita.

Pepatah ini juga terpakai bagi pembayar cukai yang mempunyai isu tunggakan cukai kepada
negara. LHDN merupakan sebuah agensi pentadbir cukai langsung negara yang sentiasa terbuka untuk mengadakan perbincangan serta rundingan sekiranya pembayar cukai mempunyai masalah bagi menyelesaikan tunggakan cukai mereka.

Peruntukan undang-undang juga memberi ruang kepada pembayar cukai untuk membayar cukai atau baki cukai secara ansuran. Sekiranya cukai kena dibayar layak dikenakan kenaikan cukai di bawah seksyen 103 ACP, ansuran yang dibenarkan
adalah termasuk kenaikan cukai tersebut.

Antara bukti LHDN amat prihatin kepada situasi pembayar cukai yang mengalami masalah kewangan adalah menerusi Kenyataan Media LHDN bertarikh 3 Jun 2021, apabila LHDN telah menawarkan kelonggaran pembayaran cukai dan penalti khusus untuk pembayar cukai yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

Kelonggaran itu bertujuan untuk meringankan beban pembayar cukai dalam menyelesaikan cukai
tertunggak dan penalti cukai mereka. Ini selari dengan objektif utama piagam LHDN iaitu “Memberikan Perkhidmatan Terbaik Kepada Pelanggan” selain memaparkan peranan LHDN sebenarnya adalah sebagai pemudah cara pematuhan atau facilitator of compliance yang memudahkan urusan percukaian rakyat Malaysia.

Bagi pembayar cukai yang ingin memohon bayaran tunggakan cukai atau baki cukai secara ansuran mereka terlebih dahulu perlu mendapat kelulusan daripada LHDN.

Bayaran ansuran cukai yang dimaksudkan ini bukanlah bermaksud pembayar cukai
sewenang-wenangnya membuat bayaran sedikit demi sedikit berdasarkan kemahuan sendiri, namun kelulusan bayaran ansuran ini perlu memenuhi beberapa syarat yang dipersetujui.

Tidak semua kes tunggakan cukai mempunyai merit kes yang sama, justeru permohonan bayaran ansuran ini mempunyai layanan yang berbeza
bergantung kepada kemampuan serta kedudukan kewangan pembayar cukai.

Pembayar cukai boleh membuat permohonan ansuran ini secara terus dengan Cawangan HASiL yang mengendalikan fail cukai mereka. Dokumen-dokumen seperti penyata aliran tunai bulanan, penyata bank beberapa bulan terkini, senarai komitmen bulanan dan bilangan ansuran yang ingin dicadangkan merupakan antara dokumen
yang diperlukan oleh pihak LHDN dalam memproses permohonan bayaran ansuran pembayar cukai.

Selain itu, rayuan terhadap kenaikan cukai juga boleh dibuat namun rayuan tersebut haruslah mempunyai asas yang munasabah bagi pihak LHDN membuat keputusan yang terbaik bagi kedua-dua pihak. LHDN sememangnya mengalu-alukan sebarang rundingan daripada pihak pembayar cukai demi memudahkan pematuhan serta pembayaran cukai kepada kerajaan.

LHDN sebenarnya amat menghargai para
pembayar cukai yang mempunyai masalah untuk duduk bersama-sama berbincang bagi mencari jalan penyelesaian yang terbaik daripada sikap mengabaikan serta melarikan diri dari melaksanakan tanggungjawab membayar cukai.

Kesimpulan

Tunggakan cukai merupakan isu yang seringkali membelenggu pembayar cukai sekiranya mereka culas serta mengabaikan tanggungjawab mereka kepada kerajaan.

Sikap bertangguh serta tidak ambil peduli oleh sesetengah pembayar cukai akan mengakibatkan mereka berhadapan dengan tindakan susulan pemungutan oleh LHDN.

Bagi mengurangkan kes tunggakan cukai ini, pembayar cukai disarankan untuk berhubung dengan LHDN bagi mendapatkan khidmat perundingan percukaian secara percuma di samping LHDN juga terbuka dalam setiap apa jua rundingan cukai demi kepentingan kedua-dua pihak.

Jadilah seorang pembayar cukai yang patuh yang
menyumbang kepada pendapatan negara kerana setiap sen cukai yang disumbangkan adalah bertujuan bagi membantu pihak kerajaan menyediakan pelbagai kemudahan serta kebajikan agar rakyat dapat merasai nikmat kesejahteraan
serta kemakmuran hidup di Malaysia.

Terima kasih pembayar cukai! Andalah Wira
Negara!

Disediakan oleh:
Bahagian Komunikasi
Pejabat Ketua Pegawai Eksekutif HASiL

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here