Lebih 200,000 lokar sekolah mula dibekalkan KPM bagi atasi masalah beg berat – Radzi

0
30
Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin mendengar penerangan daripada Guru Besar SK Gombak Setia, Zaidah Abdul Talib berkenaan lokar sekolah yang disediakan oleh KPM.

KUALA LUMPUR – Isu beg sekolah berat yang dihadapi sebahagian besar murid sekolah rendah khususnya mereka di Tahun Satu hingga Tiga bakal berakhir sepenuhnya selepas penyerahan lokar fasa pertama dibuat hari ini.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin berkata, penyediaan kemudahan itu merupakan salah satu daripada tujuh inisiatif yang dikenalpasti, sedang dan akan dilaksanakan Kementerian Pendidikan (KPM).

Katanya, untuk fasa tersebut sebanyak 626 sekolah dua sesi terlibat meliputi 249,646 bilangan lokar dan murid yang menerima manfaat daripada pemasangan tersebut. 

“Inisiatif ini telah diumumkan pada Mac 2022 dan pada hari ini, 5 Oktober kita lancarkan antara inisiatif yang paling besar dan tidak pernah dilancarkan oleh kementerian untuk bekalkan lokar ke sekolah-sekolah dua sesi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi pelancaran dan sidang media di Sekolah Kebangsaan (SK) Gombak Setia di sini.

Turut hadir dalam majlis itu, Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali. 

Menurut Radzi, pemasangan lokar itu menelan kos sebanyak RM37.3 juta bagi fasa pertama dan fasa kedua akan diteruskan pada tahun hadapan bagi murid-murid Tahun Tiga hingga Enam. 

“Kita akan selesaikan semua pemasangan dalam bulan Oktober ini. Ada lima sekolah dah pasang sepenuhnya dan berbaki 33 sekolah akan selesai pemasangan sebelum akhir bulan ini,” katanya.

Mengulas lanjut, Radzi berkata, KPM turut menggariskan enam ketetapan lain bagi menangani masalah yang sama. 

Katanya, enam ketetapan tersebut adalah penyusunan semula jadual waktu, bilangan buku latihan, penggunaan buku aktiviti dan buku kerja murid, pengenalan buku teks digital, pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran (PdP) serta kerjasama dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Dalam pada itu beliau juga meminta semua pihak bersama-sama dapat memastikan murid-murid tidak lagi terbeban dengan muatan beg berat selepas pemasangan lokar.

Beliau menegaskan sudah menjadi tanggungjawab ibu bapa untuk memantau kandungan beg sekolah anak-anak selepas penyediaan lokar. 

Beliau juga tidak menolak kemungkinan untuk memanggil pegawai-pegawai seperti jemaah nazir di pejabat pendidikan negeri untuk memantau penggunaan lokar di setiap sekolah. 

Katanya, ini bagi memastikan semua pihak termasuk guru-guru, ibu bapa dan murid dapat menggunakan inisiatif tersebut secara optimum.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here