Letak Anwar di Tambun untuk perkukuh agenda DAP di Perak, jadikan sebagai Pulau Pinang kedua – dakwa Azmin Ali

0
28
Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali –fotoBERNAMA (2018) HAK CIPTA TERPELIHARA

PUTRAJAYA – Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mendakwa Pakatan Harapan (PH) mahu memperkukuhkan agenda DAP di Perak pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Menurut Azmin, PH mahu mewujudkan satu lagi ‘Pulau Pinang’ di Perak.  

“Dia (Datuk Seri Anwar Ibrahim) akhirnya lari ke Tambun, jadi beliau lari ke kawasan yang ramai pengundi bukan Melayu.

“Orang Melayu, Cina dan India kena faham kita tidak boleh terima parti perkauman sempit dan kita kena tolak PH dalam PRU15 nanti,” katanya pada Jelajah Prihatin Parlimen PN di Putrajaya, malam tadi. 

Yang hadir sama, Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Ketua Badan Perhubungan Kawasan Putrajaya, Datuk Dr Radzi Jidin dan Ketua Pemuda PN, Ahmad Fadhli Shaari.

Terdahulu, Radzi yang diumum sebagai calon PN kerusi Putrajaya mendakwa, Barisan Nasional (BN) tidak pernah insaf walaupun selepas kehilangan kuasa pada PRU14.

Beliau mendakwa, pimpinan parti itu juga tidak menghiraukan rayuan 12 menteri daripada PN supaya PRU15 tidak diadakan dalam tempoh terdekat.

Katanya, penjawat awam di Putrajaya berpengalaman berada di bawah pentadbiran Pakatan Harapan (PH) yang sering mencari kesalahan kakitangan awam.

Tambah Radzi lagi, ramai tidak selesa dan berasakan mereka dipimpin oleh kelompok yang hanya mahu mencari salah pegawai kerajaan.

“Pegawai kerajaan ditukar ke sana sini sesuka hati kerana kononnya tidak memenuhi keperluan dalam membuat apa juga yang mahu nak dilaksanakan,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here