Mahathir persoal mengapa tiada tindakan diambil terhadap Apandi susulan kes 1MDB?

0
7
Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad. Foto – BERNAMA

KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mempersoalkan mengapa tiada sebarang tindakan diambil sehingga kini terhadap bekas Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali walaupun beliau terbukti sudah melakukan pelbagai kesalahan.

Dr. Mahathir dalam kenyataannya berkata, antara kesalahan paling ketara dilakukan Apandi adalah membebaskan Datuk Seri Najib Razak daripada sebarang tindakan undang-undang, sedangkan bekas Ahli Parlimen Pekan itu kini sudah disabitkan kesalahan dan menjalani hukuman penjara.

Katanya, tindakan Apandi itu jelas menunjuk beliau terbabit dalam usaha untuk menutup skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

“Bagaimana Apandi sebagai seorang Peguam Negara dengan mudah melepaskan Najib, sedangkan sembilan hakim – bermula dengan seorang hakim mahkamah tinggi, tiga hakim mahkamah rayuan dan lima hakim mahkamah persekutuan – semuanya mendapati bekas Presiden UMNO itu bersalah.

“Bahkan seorang lagi hakim mahkamah tinggi, Datuk Azimah Omar, pada 23 Mei lalu di dalam penghakiman bertulisnya sebanyak 100 muka surat, yang menolak saman fitnah Apandi terhadap Lim Kit Siang.

“Beliau telah membuat kesimpulan bahawa Apandi antara lain adalah seorang penipu, gagal melaksana tugas sebagai Peguam Negara dan mempunyai asas untuk disiasat kerana disyaki bersubahat dan melindung jenayah 1MDB.

“Penghakiman sama turut mempersoal sikap dan tindakan Apandi yang bersungguh-sungguh menutup skandal 1MDB dan menyucikan Najib, selain bekas Peguam Negara itu juga menolak bantuan undang-undang bersama dari pihak berkuasa Switzerland dan juga Department of Justice Amerika Syarikat sedangkan dia sedar bantuan mereka perlu untuk siasatan 1MDB,” katanya melalui Twitter, hari ini.

Pada 23 Ogos lalu, Najib dibawa ke Penjara Kajang untuk menjalani hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan tujuh pertuduhan membabitkan dana SRC International berjumlah RM42 juta.

Dalam pada itu, Mahathir yang juga Pengerusi Penaja Gerakan Tanah Air (GTA) juga berkata, Azimah turut menyatakan rasa meluat mahkamah terhadap betapa kejinya kenyataan Apandi yang bercanggah, mengelak dan melakukan penipuan yang jelas.

Susulan itu, katanya, banyak laporan polis dibuat terhadap Apandi, namun tiada sebarang tindakan diambil.
Sebaliknya, beliau berkata Apandi diberi pampasan jutaan ringgit oleh kerajaan selepas ditamatkan perkhidmatannya kerana gagal menjalankan tugasnya.

“Tidak cukup dengan pampasan, Apandi yang didapati oleh Mahkamah Tinggi sebagai seorang penipu dan perlu disiasat kerana disyaki bersubahat di dalam skandal 1MDB, telah dilantik mengetuai jawatankuasa siasatan tuntutan Batu Puteh,” katanya.

Tambah Mahathir lagi, beliau mengakui tiada sebarang halangan susulan siasatan dijalankan terhadap buku yang ditulis oleh bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas dan jika ada asas terhadap tuduhan dibuat terhadapnya ataupun sesiapa sahaja termasuk beliau, undang-undang ada untuk tindakan seterusnya.

“Saya sebenarnya sudah menduga, setiap kali saya bersuara mengenai salah laku kerajaan, akan ditimbulkan perkara sebegini untuk menutup mulut saya.

“Mereka boleh cuba, tapi saya mahu ingatkan mereka bahawa selagi ada hayat saya tidak akan bisu, buta atau tuli apabila melihat kemungkaran yang mereka lakukan,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here