Mahdzir Khalid ucap tahniah UniKL tersenarai universiti terbaik dunia 

0
18
Universiti Kuala Lumpur (UniKL).

KUALA LUMPUR – Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid mengucapkan tahniah kepada Universiti Kuala Lumpur (UniKL) selepas mencatatkan pencapaian membanggakan apabila kekal dalam senarai universiti terbaik dunia tahun ini.

Menurut Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid, pencapaian itu berdasarkan laporan Times Higher Education (THE) World University Ranking 2023 yang diterbitkan pada 12 Oktober 2022.

“Saya mengucapkan tahniah dan syabas kepada pengurusan tertinggi UniKL dan juga seluruh kakitangan akademik yang telah membuktikan kewibawaan sehingga berjaya meletakkan UniKL dan Pendidikan TVET berada dalam senarai terbaik dunia.

“Sebagai sebuah institusi pengajian tinggi di bawah MARA, saya turut merasa bangga atas pencapaian tersebut dan berharap UniKL terus mencipta gemilang menerusi kecemerlangan dari segi ranking dunia”, katanya dalam satu kenyataan kepada media hari ini.

Jelas Mahdzir, kajian THE 2023 meliputi 1,799 buah universiti di 104 buah negara dan Ia juga merupakan laporan kedudukan universiti yang terbesar dan tertinggi di peringkat global serta diiktiraf semua pihak.

“Saya pasti UniKL akan terus mengambil langkah lebih luas dan jauh untuk meletakkan nama UniKL di persada dunia akademik global khususnya untuk menarik minat pelajar-pelajar antarabangsa ke UniKL” ujarnya lagi.

Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif UniKL, Datuk Dr. Roziah Omar berkata, akan menggandakan usaha bagi mencapai objektif yang ditetapkan oleh Kementerian Pembangunan Luar Bandar, MARA dan MARA Corporation.

“UniKL akan terus menggandakan usaha dalam mengimbangi penekanan aspek peningkatan reputasi, kelestarian kewangan dan pembinaan negara bangsa untuk mencapai objektif yang ditetapkan oleh Kementerian Pembangunan Luar Bandar, MARA dan MARA Corporation,” katanya

Untuk rekod, UniKL mencatat kadar kebolehpasaran graduannya 97.1 peratus pada tahun 2021 dan 96.1 peratus pada 2020 dan berada di kedudukan 401 dalam Asia University Rankings 2022.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here