Mahu halang PRU15, Ahli Parlimen DAP fail saman terhadap Ismail Sabri, Kerajaan dan SPR

0
9

CYBERJAYA – Penyandang kerusi Parlimen Klang, Charles Santiago memfailkan saman pemula terhadap Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Kerajaan Malaysia dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) susulan pembubaran Parlimen kelmarin.

Laporan Harian Metro menyebut, saman pemula itu difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam dan bertujuan menghalang SPR daripada menjalankan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Sementara itu, Charles menerusi satu hantaran di laman Facebooknya berkata, pemfailan itu dibuat kerana keputusan mengadakan PRU15 pada musim tengkujuh boleh menyebabkan kehilangan nyawa dan mata pencarian.

“Saya ingin menyatakan dengan tegas bahawa saya tidak mencabar kuasa Yang di-Pertuan Agong tetapi hanya nasihat yang diberikan oleh (Perdana Menteri) Ismail Sabri kepada baginda,” kata Charles dalam hantaran itu, hari ini.

Katanya, beliau percaya Perdana Menteri tidak mendapat sokongan majoriti ahli bagi membubarkan Parlimen sambil memberikan beberapa sebab.

“Persoalan yang berlarutan ialah sama ada Ismail Sabri mendapat sokongan majoriti Parlimen dan kabinet apabila beliau menghadap Seri Paduka,” katanya.

Antara sebab yang senaraikan termasuk ketidak setujuan parti politik lain termasuk Pakatan Harapan (PH) dan Pakatan Masional (PN) secara terbuka dengan keputusan ini, dan sokongan UMNO bagi pembubaran Parlimen hanya boleh menyumbang kira-kira 17 peratus daripada Ahli Parlimen.

“Berdasarkan alasan di atas, saya amat percaya bahawa nasihat Ismail Sabri kepada YDPA adalah terbatal.

“Berhubung dengan itu, saya juga percaya bahawa pembubaran Parlimen tidak mempunyai kesahihan undang-undang,” kata Charles lagi.

Pendengaran kes berkenaan telah ditetapkan pada 20 Okt depan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here