Mandat dipulang kepada rakyat, Parlimen dibubar hari ini – Ismail Sabri

0
38
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob

PUTRAJAYA – Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan Parlimen dibubarkan hari ini selepas diperkenan Yang di-Pertuan Agong untuk memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Perdana Menteri membuat pengumuman itu menerusi ucapan yang disiarkan secara langsung ke seluruh negara, menerusi siaran televisyen dan media dalam talian mulai jam 3 petang hari ini.

Dalam ucapannya, Ismail Sabri berkata beliau sudah menghadap Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah tengah hari semalam bagi mendapatkan perkenan pembubaran Parlimen.

Susulan itu, Perdana Menteri menasihati semua Ketua Menteri dan Menteri Besar kecuali Sabah, Johor, Melaka dan Sarawak, menghadap Sultan, Raja atau Yang di-Pertua Negeri masing-masing bagi mendapat perkenan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Langkah itu bagi memberi laluan supaya pilihan raya negeri (PRN) dan PRU dapat diadakan serentak oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Sabah, Sarawak, Johor dan Melaka terkecuali daripada mengadakan PRN kerana baru sahaja diadakan.

PRU15 adalah yang pertama di bawah kepemimpinan Ismail Sabri, yang akan bersama-sama memimpin jentera Barisan Nasional (BN).

Susulan pembubaran Parlimen pada hari ini, SPR perlu menetapkan tarikh pilihan raya diadakan.

Perkara 55 (4) Perlembagaan Persekutuan menetapkan PRU mesti diadakan dalam tempoh 60 hari, daripada tarikh pembubaran Parlimen.

Ketika ini, Dewan Rakyat mempunyai 222 kerusi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here