Mayat reput dijumpai di lokasi sebuah kereta terbabas elak ‘kelibat’ melintas

0
54
Lokasi mayat reput ditemukan selepas sebuah kenderaan terbabas di persimpangan lampu isyarat Pekan Tambun pagi tadi.

IPOH – Polis menemukan satu mayat yang telah reput di lokasi kejadian sebuah kenderaan terbabas ke dalam longkang berhampiran persimpangan lampu isyarat Pekan Tambun di sini pagi tadi.

Menurut laporan Harian Metro, mayat wanita yang dipercayai meninggal dunia beberapa hari lalu itu ditemukan kira-kira tiga meter dari kereta Proton Saga Aeroback yang terbabas ke dalam longkang berdekatan.

Difahamkan kira-kira jam 5 pagi kereta yang dipandu oleh seorang anggota tentera dari arah Hulu Kinta itu terbabas ke dalam longkang berkenaan.

Menurut sumber, pemandu dikatakan cuba mengelak sesuatu kelibat yang melintas di hadapan keretanya sebelum terbabas ke dalam longkang di sebelah kiri jalan.

Akibat kejadian itu pemandu kenderaan terbabit mengalami cedera ringan.

Anggota polis trafik yang tiba di lokasi kira-kira 5.30 pagi untuk menjalankan siasatan kemudiannya menemukan mayat reput di sekitar kawasan kemalangan selepas terhidu bau busuk.

Maklumat penemuan itu dilaporkan kepada Balai Polis Tambun berhampiran dan mayat kemudiannya dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh untuk proses bedah siasat.

Difahamkan, proses bedah siasat akan dijalankan pada petang ini bagi mengenal pasti identiti mayat dan punca kematian.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan ketika dihubungi Harian Metro mengesahkan kejadian berkenaan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here