Monsun dijangka bermula bulan depan, PRU tak sesuai diadakan tahun ini – MET Malaysia

0
19
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) tidak sesuai diadakan semasa Monsun Timur Laut (MTL) yang dijangka bermula bulan hadapan.

Timbalan Ketua Pengarah (Strategik dan Teknikal) Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia), Dr Mohd Hisham Mohd Anip berkata, PRU15 tidak wajar dilakukan tahun ini khususnya dalam keadaan perubahan iklim yang sedang berlaku.

“Jika mengambil kira pandangan kami daripada komuniti pengurusan bencana, secara umumnya kami tidak menggalakkan untuk diadakan PRU15.

“Ini kerana dalam tempoh peralihan MTL akan banyak lokasi di seluruh Malaysia menghadapi kemungkinan bencana banjir.

“Oleh itu, dari segi kesesuaian cuaca memang tidak membantu untuk diadakan pilihan raya kerana kita banyak bergantung kepada keadaan cuaca,” katanya memetik laporan Harian Metro hari ini.

Terdahulu beliau menjadi panel dalam Forum Iklim Kebangsaan: Monsun Timur Laut 2022/2023 anjuran MET Malaysia secara maya di sini, hari ini.

Forum itu dirasmikan Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Sri Tuan Ibrahim Tuan Man dan antara panel yang hadir termasuk Timbalan Pengarah (SME) Seksyen Pakar dan Nasihat Teknikal Bahagian Pengurusan Sumber Air dan Hidrologi Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia, Ir Dr Asnor Muizan Ishak dan Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan dan Persediaan Bencana) Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) Jabatan Perdana Menteri, Jamil Derus Ahmad.

Dr Mohd Hisham berkata, MTL dijangka bermula pada pertengahan November 2022 dan berakhir pada Mac 2023.

Menurutnya, dalam tempoh ini, empat hingga enam episod hujan lebat berterusan yang signifikan dan boleh mendatangkan banjir dijangka berlaku semasa fasa aktif MTL iaitu dari November 2022 hingga Januari 2023.

“Di Kelantan, Terengganu dan Pahang, episod hujan lebat berterusan dijangka berlaku antara November hingga Disember 2022. Manakala, mulai Disember 2022 hingga Februari 2023, episod hujan lebat berterusan dijangka lebih tertumpu di Johor, Sabah dan Sarawak.

“Bagaimanapun, hujan lebat berterusan juga boleh berlaku di negeri pantai barat sekiranya luruan monsun kuat dan atau kewujudan sistem tekanan rendah di rantau negara dan kebanyakan tempat dijangka menerima jumlah hujan bulanan pada paras purata pada MTL 2022/2023,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here