Muhyiddin dedah DAP dan PKR buat tuntutan bercanggah dengan agama, bangsa dan negara punca tinggalkan PH

0
43

MASJID TANAH – Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin mendedahkan beliau meninggalkan Pakatan Harapan (PH) kerana terpaksa berhadapan dengan kerenah DAP dan PKR yang membuat tuntutan bercanggah dengan agama, bangsa dan negara.

Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu berkata, beliau tidak kisah dituduh pengkhianat selagi tidak bertindak mengkhianati bangsa, agama dan negara.

“Saya ‘ditendang keluar’ dari jawatan Timbalan Perdana Menteri dan parti UMNO hanya kerana membuat teguran mengenai skandal 1MDB, yang merupakan ‘rompakan’ terbesar dalam sejarah negara, sehingga mencemarkan nama baik Malaysia di mata dunia. Tak apalah. Mungkin Allah tidak mahu saya bersama-sama orang yang mungkar.

“Saya juga keluar dari PH sebab tak tahan dengan tuntutan DAP dan PKR yang tidak begitu sesuai dan bercanggah dengan tuntutan agama, bangsa dan negara. Saya tidak kisah dituduh pengkhianat kerana saya tidak boleh mengkhianati bangsa, agama dan negara,” katanya dalam satu hantaran dalam laman Facebooknya hari ini.

Muhyiddin berkata, dalam keadaan negara dan rakyat yang masih berada dalam kesusahan akibat Covid-19, PN bersedia untuk melakukan yang terbaik untuk kemaslahatan rakyat sekiranya berjaya membentuk kerajaan.

Pada masa sama Muhyiddin turut mengingatkan kepada setiap pemimpin untuk menjalankan amanah yang diberikan dengan penuh tanggungjawab dan tidak pecah amanah kerana ia berdosa besar.

“Amanah dan tanggungjawab itu mesti kita sempurnakan agar dapat mengangkat bangsa dan negara ke satu harakah yang tinggi, lebih maju dan berjaya.

“Ini bermakna apabila diberi tugas dan tanggungjawab, maka mestilah dilakukan sebaik mungkin. Dulu Malaysia dikenali sebagai Harimau Asia kerana kejayaan yang hebat dan kita bangga mengaku sebagai warganegara tetapi mutakhir ini ramai yang malu dengan kebobrokan yang berlaku gara-gara rasuah dan salah guna kuasa melibatkan pemimpin negara,” ujarnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here