Orang ramai dinasihat tidak bimbang dengan amaran cuaca buruk dikeluarkan Amerika

0
10
Gambar hiasan

CYBERJAYA – Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) menasihatkan rakyat Malaysia supaya tidak merasa terlalu bimbang dengan amaran cuaca buruk yang dikeluarkan dalam laman sesawang rasmi Kedutaan Amerika Syarikat (AS) kepada rakyat mereka di negara ini.

Ketua Pengarah MET Malaysia , Muhammad Helmi Abdullah berkata, rakyat dinasihatkan supaya melakukan persiapan sewajarnya bagi menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) yang berlaku di negara ini pada setiap tahun.

Katanya, MTL dijangka bermula pada pertengahan November ini dan berakhir pada Mac tahun depan.

“MET Malaysia melakukan pemantauan cuaca secara berterusan 24 jam sehari sepanjang tahun.

“Dan amaran cuaca dikeluarkan sekiranya dijangka berlaku ribut petir, hujan lebat berterusan, angin kencang dan laut bergelora serta siklon tropika.

“Amaran cuaca tersebut akan dihebahkan melalui pelbagai saluran kepada orang awam termasuk warga Amerika Syarikat di Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan orang awam mengikut arahan agensi-agensi pengurusan bencana negara semasa kejadian banjir.

Katanya, rakyat juga dinasihatkan supaya lebih peka dengan sebarang perubahan cuaca.

“Maklumat cuaca terkini boleh diperolehi melalui laman web iaitu www.met.gov.my, aplikasi mobil myCuaca.

“Orang ramai juga boleh memperolehi maklumat mengenai cuaca di media rasmi MET Malaysia serta talian 1-300-22-1638.

Minggu lalu AS mengeluarkan amaran cuaca buruk kepada rakyat negara itu yang berada di Malaysia sebagai persediaan berdepan hujan lebat, ribut dan banjir bermula bulan depan.

Berdasarkan amaran yang dikeluarkan di laman sesawang Kedutaan AS di Kuala Lumpur, Selasa lalu, rakyat negara itu diingatkan untuk bersiap sedia berdepan Musim Siklon Tropika di Laut Pasifik Selatan bermula 1 November ini hingga 30 April tahun depan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here