Parlimen: RUU anti hendap diluluskan sebulat suara

0
16

KUALA LUMPUR – Dewan Rakyat hari ini meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Kanun Keseksaan (Pindaan) 2022 berkaitan jenayah intip dan hendap.

RUU tersebut diluluskan dengan undian sebulat suara selepas bacaan kali ketiga di Dewan Rakyat.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Mas Ermieyati Samsudin membentangkan RUU untuk melakukan pindaan ke atas Kanun Keseksaan, dengan bacaan kali pertamanya dilakukan pada 4 Ogos lalu.

Pindaan itu bertujuan untuk memperkenalkan subseksyen baharu, iaitu 507A, kerana pada masa ini sukar untuk membuktikan perbuatan menghendap sebagai jenayah di bawah Seksyen 507 Kanun Keseksaan.

Berdasarkan peruntukan yang dicadangkan, mana-mana individu yang berulang kali mengganggu orang lain dengan niat atau pengetahuan bahawa perbuatan itu akan menimbulkan kesusahan, ketakutan, atau kecemasan kepada keselamatan mereka akan dianggap telah melakukan kesalahan menghendap.

RUU itu menjelaskan tindakan gangguan termasuk mengikuti atau berkomunikasi dengan seseorang melalui apa jua cara, berlegar-legar di tempat kediaman atau perniagaan mana-mana individu dan memberi atau menghantar apa-apa kepada mangsa.

Pada masa yang sama, menghendap secara dalam talian berulang kali akan dianggap sebagai jenayah di bawah pindaan itu kerana ia boleh mengganggu mental dan emosi mangsa.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here