Pas tolak PRU15 diadakan dalam tempoh terdekat

0
11
ABDUL HADI

CYBERJAYA – Parti Pas tidak bersetuju sekiranya Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) diadakan dalam tempoh terdekat.

Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, keputusan itu dibuat berdasarkan faktor ekonomi dan iklim semasa.

“Pas berpandangan pembubaran Parlimen dalam tempoh terdekat adalah tidak wajar dan tidak perlu disegerakan.

“Mengambil kira faktor pemulihan ekonomi dan jangkaan musim tengkujuh yang menyukarkan rakyat serta jentera kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan ringkas, hari ini.

Abdul Hadi berkata, parti Pas tetap berpendirian bahawa keutamaan harus diberikan kepada negara dan rakyat.

Ini termasuk memberi sokongan padu kepada segala tindakan yang sedang diambil untuk memulihkan ekonomi terutama melalui Bajet 2023 yang akan dibentangkan di Dewan Rakyat, Jumaat ini.

“Pas berpendirian dalam apa jua keadaan, kepentingan negara dan rakyat hendaklah didahulukan.

“Di samping langkah-langkah pemulihan ekonomi yang perlu terus disokong, khususnya melalui Bajet 2023 yang akan dibentangkan,” katanya lagi.

Abdul Hadi kemudiannya berkata, Pas akan meneruskan perbincangan dan rundingan dengan pelbagai pihak bagi menjayakan perpaduan ummah.

“Pas tetap akan meneruskan perbincangan dan rundingan dengan semua pihak (parti politik, NGO, ahli akademik, tokoh masyarakat) ke arah menjayakan agenda perpaduan ummah.

“(Ini adalah) Bagi mencapai titik persamaan dan mengelakkan pertembungan sesama sendiri, sekali gus mengalahkan PH,” kata Abdul Hadi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here