Pelajar sekolah dapat hadiah Nintendo selepas juarai pertandingan kitar semula

0
35
Sekitar pertandingan Waste is Amazing: Merdeka Special Upcycling yang diadakan di Fasiliti Inovasi Kitar Semula (FIKS) Putrajaya kelmarin.

PUTRAJAYA – Reka cipta rumah kucing daripada bahan kitar semula yang dihasilkan oleh seorang pelajar berjaya menjadi juara pertandingan Waste is Amazing: Merdeka Special Upcycling di sini, kelmarin.

Juara, Muhammad Aakif Naufal yang mewakili Sekolah Kebangsaan Taman Bukit Indah, Selangor telah membawa pulang permainan video Nintendo Switch OLED dan sijil penyertaan digital.

Selain itu, bagi kategori sekolah menengah pula telah dimenangi oleh Khogabslaram dari Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Manggis, Selangor dengan rekaan kapal.
Dia juga telah membawa pulang permainan video Nintendo Switch OLED dan sijil penyertaan digital.

Untuk rekod, hanya 12 peserta (enam dari sekolah menengah dan enam dari sekolah rendah) terpilih untuk memasuki peringkat akhir yang berlangsung di FIKS, Putrajaya.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Alam Flora, Datuk Mohd Zain Hassan, pertandingan anjuran Perbadanan Putrajaya dengan kerjasama Alam Flora tersebut mendapat sambutan yang menggalakkan baru-baru ini.

Katanya, pertandingan merupakan usaha yang telah dilaksanakan oleh Alam Flora untuk meningkatkan kesedaran dalam kalangan pelajar sekolah dan orang awam terhadap pembudayaan konsep 5R.

“Pertandingan tersebut merupakan salah satu usaha selaras dengan hasrat kerajaan untuk mengurangkan sebanyak 40 peratus sisa yang boleh dikitar semula, dibuang ke tapak pelupusan sampah menjelang 2025.

“Pertandingan ini menyaksikan peserta menunjukkan kemahiran menggunakan bahan kitar semula untuk menghasilkan apa-apa ciptaan bertemakan warna Jalur Gemilang iaitu merah, putih, biru dan kuning untuk menyemai semangat kemerdekaan negara.

“Mereka juga wajib menghantar video projek cipta kitar semula melalui platform media sosial Alam Flora sepanjang bulan Ogos,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Waste is Amazing: Merdeka Special Upcycling Competition tahun 2022 di Fasiliti Inovasi Kitar Semula (FIKS) Putrajaya pada Jumaat.

Tambah Mohd Zain lagi, Alam Flora telah meningkatkan usahanya dalam mendekati pengurusan sisa terutama dalam membudayakan amalan kitar semula dalam kalangan rakyat Malaysia dan ‘Waste is Amazing’ adalah salah satu daripadanya.

“Waste is Amazing: Merdeka Special Upcycling Competition sebagai inisiatif yang harus dijadikan contoh untuk menyedarkan masyarakat dalam menjaga alam sekitar,” ujarnya lagi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here