Pelajar sekolah, institusi pengajian di bawah KPM diberi cuti mengundi

0
454
Gambar hiasan.

CYBERJAYA – Pelajar sekolah dan institusi di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan diberikan cuti pelepasan bagi membolehkan mereka melaksanakan tanggungjawab mengundi pada Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU-15) bulan depan.

KPM dalam kenyataan berkata, cuti pelepasan bermula dari 17 hingga 21 November kepada pelajar institut pendidikan guru, kolej matrikulasi, kolej vokasional dan tingkatan enam itu bertujuan memberi kemudahan kepada mereka untuk pulang ke kampung membuang undi.

Ketetapan itu dibuat selaras dengan pengumuman Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) mengenai tarikh hari pengundian PRU-15 yang telah ditetapkan pada 19 November ini.

“Tempoh pelepasan yang diberikan ini adalah bagi membolehkan pelajar mempunyai masa mencukupi untuk membuat perjalanan pergi dan balik ke lokasi pusat pengundian masing-masing,” kata kenyataan itu.

Menurut KPM, ketetapan itu juga sebagai tanda sokongan kementerian bagi pelaksanaan Undi 18 yang telah diwartakan kerajaan pada 1 Disember 2021 dan berkuat kuasa mulai 15 Disember 2021.

“Sehubungan dengan ini, semua kelas atau aktiviti yang melibatkan pelajar dalam tempoh tersebut perlu ditangguhkan ke suatu tarikh lain,” katanya.

Kelayakan mengundi bagi rakyat Malaysia berusia 18 tahun ke atas diluluskan pada 2019 bagi menggantikan undang-undang terdahulu yang membenarkan syarat boleh mengundi pada usia 21 tahun dan ke atas.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here