Penerbitan e-buku mampu jana pendapatan tambahan buat penerbit, penulis

0
9
Nur Eleena (kanan) ketika muncul pada program bual bicara sempena Temasya Buku & Kopi di Malakat Mall, hari ini.

CYBERJAYA – Penerbit dan penulis buku tempatan disaran menambah pengeluaran e-buku selain meneruskan penerbitan keluaran cetak

Pengurus portal jualan e-buku, e-Sentral, Nur Eleena Farihin berkata, buat masa ini, portal kendaliannya itu mempunyai sebanyak 350,000 judul namun hanya 10 hingga 12 peratus daripadanya merupakan kandungan tempatan.

“Angka penerbitan tempatan masih rendah, mungkin disebabkan kurangnya kesedaran terhadap e-buku.

“Di samping itu juga, terdapat keresahan mengenai hakcipta sekiranya judul mereka di jadikan e-buku,” kata Nur Eleena ketika membicarakan mengenai proses menerbit e-buku, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika muncul dalam program bual bicara sempena Temasya Buku dan Kopi di Malakat Mall, di sini hari ini.

Nur Eleena menjelaskan, keresahan mengenai hakcipta tidak sepatutnya timbul kerana semua kandungan di portal tersebut dilindungi sistem keselamatan yang unik.

“Kesemua kandungan kita dilindungi oleh sijil pengurusan hak digital (DRM), jadi tidak ada isu mengenai ia tidak dilindungi,” kata Nur Eleena lagi.

Beliau seterusnya menjelaskan, pasaran e-buku mengalami lonjakan ketika melalui tempoh pandemik sejak 2020.

“Dalam pada ketika perniagaan lain menglami impak negatif, jualan e-buku meningkat naik hingga ke 90 peratus.

“Oleh kerana kurangnya pergerakan, orang ramai memilih untuk beralih ke bahan bacaan, dan e-buku menepati citarasa mereka kerana boleh diperoleh menerusi online,” katanya lagi.

Selaku platform penjualan e-buku, e-Sentral melaksanakan model perniagaan secara perkongsian keuntungan.

“Menerusi penerbitan e-buku, penerbit dan penulis tidak perlu risaukan mengenai kos percetakan dan kos lojistik.

“Mereka (penerbit dan penulis) boleh tentukan harga mereka sendiri bergantung kepada isi kandungan buku tersebut,” tambah Nur Eleena.

Jelas Nur Eleena, kelebihan e-buku adalah selain daripada harga yang menarik, penerbit dan penulis turut boleh menambah kandungan digital pada judul terbitan mereka.

“Ini sekaligus menambah nilai buat para pembaca dan pada masa yang sama harga yang dikenakan juga adalah amat berpatutan,” jelasnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here