Pengundi positif Covid-19 boleh mengundi, garis panduan bakal diumum SPR dalam masa terdekat – KJ

0
43
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin dalam satu sidang media berkenaan situasi terkini Covid-19 di Malaysia di sini, hari ini. MALAKAT TRIBUNE/MIM FADLIZAL ROZAIMAN

PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan (KKM) membenarkan individu yang didapati positif untuk keluar mengundi dengan kaedah dan peraturan yang akan diumumkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak lama lagi.

Menurut Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar, saranan daripada KKM mengenai hari mengundi sudahpun diserahkan kepada SPR dan akan diumumkan dalam masa terdekat .

“Berkenaan dengan hari mengundi kita sudah hantar kepada SPR syor dan saranan KKM, biar SPR sendiri yang akan umumkan perkara tersebut dan syor itu untuk menuntukkan proses pengundian dapat dijalankan dengan selamat agar semua boleh mengundi,”katanya dalam satu sidang media di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Khairy yang juga penyandang kerusi Parlimen Rembau berkata, orang ramai sangat disarankan untuk memakai pelitup muka pada musim PRU ini selain menegaskan calon yang bertanding perlu menjalani kuarantin sekiranya didapati positif Covid-19.

“Untuk calon yang bakal bertanding sekiranya dia didapati positif maka dia perlu menjalani kuarantin dan perlu memaklumkan bahawa dia positif.

“Kita juga sangat menyarankan orang ramai untuk pakai pelitup muka. Kalau ada ceramah politik dalam satu dewan dan dewan itu penuh maka parti politik dan penganjur boleh membuat pengumuman supaya memakai pelitup muka.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin dalam satu sidang media berkenaan situasi terkini Covid-19 di Malaysia di sini, hari ini. MALAKAT TRIBUNE/MIM FADLIZAL ROZAIMAN

“Kita mahukan pilihan raya ini untuk diadakan dalam keadaan kurang sekatan pada masa yang sama kita galakan orang ramai untuk mengikuti langkah-langkah pencegahan yang sudah sekian lama kita maklumkan,”katanya.

Tambah Khairy lagi, beliau turut memberi amaran bahawa negara ini sedang berdepan dengan gelombang kecil Covid-19 varian Omicron XBB.

Katanya, gelombang itu dijangka menyebabkan negara merekodkan peningkatan kes dalam beberapa minggu akan datang susulan berlaku peningkatan sebanyak 14 peratus bagi kemasukan pesakit bagi setiap 100 ribu penduduk sejak minggu lepas.

Sehubungan dengan itu, kata Khairy, KKM sedang giat menjalankan kajian dan pemerhatian terhadap varian Omicron XBB berdasarkan data yang diperoleh dari Singapura.

“Sama ada ia menjadi gelombang besar, ia bergantung kepada tingkah laku komuniti dan KKM juga giat menjalankan kajian terhadap varian ini berdasarkan data yang diperoleh dari Singapura.

“Setakat hari ini terdapat empat kes XBB yang dikesan di Malaysia dan semua kes adalah daripada warga tempatan di Selangor dan Negeri Sembilan. Walaubagaimanapun, kes berkenaan berada pada tahap dua dan tidak terlalu serius,” ujarnya lagi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here