Perolehan aset baharu, Mindef dalam proses akhir keluarkan surat setuju terima MPA, MALE-UAS

0
21
Pesawat ATR 72MP

CYBERJAYA – Kementerian Pertahanan kini dalam proses akhir untuk mengeluarkan surat setuju terima berhubung perolehan dua aset baharu Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, Kementerian Kewangan telahpun memuktamadkan kedua-dua tender bagi memperoleh pesawat peronda maritim (MPA) dan pesawat tanpa pemandu kategori Medium Altitude Long Endurance Unmanned Aircraft System (MALE-UAS).

UAV TAI Anka

“Untuk perolehan dua MPA, kerajaan telah bersetuju dengan tawaran oleh syarikat Leonardo manakala bagi perolehan tiga unit MALE-UAS, kerajaan telah memutuskan untuk berkontrak dengan syarikat Turkish Aerospace Industries (TAI),” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Hishammuddin yang juga Ahli Parlimen Sembrong berkata, kedua-dua aset berkenaan antara perolehan aset-aset baharu yang dibuat menerusi perancangan kewangan di bawah Rancangan Malaysia memandangkan peruntukan daripada bajet tahunan terhad dan tidak mencukupi khususnya bagi perolehan aset-aset strategik.

“Bagi Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), antara fokus utama ialah melaksanakan perolehan beberapa jenis aset strategik antaranya MPA dan MALE-UAS. Seperti yang saya maklumkan di peringkat awal kepimpinan sebagai Menteri Kanan Pertahanan kali ini, perolehan semua aset strategik ialah berdasarkan spesifikasi dan keperluan pengguna akhir iaitu TUDM termasuklah MPA serta MALE-UAS.

“Perolehan kesemua aset ini telah dilaksanakan secara Tender Terbuka Antarabangsa bagi memastikan perolehan ini dilaksanakan secara telus dan terbuka,” katanya.

Pada 13 Sept lepas, Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Affendi Buang dipetik sebagai berkata pesawat MALE-UAS dijangka tiba pada awal 2025 manakala pesawat pertama MPA dijangka diterima pada 2026.

Hishammuddin berkata bagi meningkatkan keupayaan Tentera Darat Malaysia (TDM), kementeriannya akan melaksanakan perolehan Kenderaan Jenis A 4×4 sebanyak 136 unit dan Kenderaaan Jenis B pelbagai unit dengan nilai perolehan sebanyak RM2.049 bilion.

Berhubung penyelenggaraan aset Angkatan Tentera Malaysia sedia ada, Hishammuddin berkata antara fokus utama ialah penyelenggaraan pesawat F/A-18D bagi TUDM.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here