PH, PN guna logo berlainan bukti mereka tiada kesepakatan politik – Zahid Hamidi 

0
9
Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

KUALA LUMPUR – Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan keputusan Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) menggunakan logo parti masing-masing dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) membuktikan mereka tiada kesepakatan politik.

Beliau dalam kenyataan di Facebook berkata, ia juga antara anasir senyap yang membawa kepada pembentukan kerajaan tidak stabil dan caca marba.

“Tiada kesepakatan dan kebersamaan antara mereka walaupun pada perkara yang asas iaitu penggunaan logo. Jelas memberi mesej mereka ini sanggup `tidur sebantal’ demi merebut kuasa, tetapi `mimpi adalah lain-lain’.

“Pada akhirnya yang menjadi mangsa kepada ketidakstabilan ini adalah rakyat dan negara,” katanya dalam hantaran tersebut hari ini. 

Katanya, logo adalah lambang sebuah kerjasama dan kebersamaan setiap komponen parti politik yang bernaung di bawahnya.

“DAP tidak mahu menggunakan lambang PH di kawasan tertentu sebaliknya mahu menggunakan logo roket.

“Pemimpin Pas mahu gunakan logo bulan di negeri dikuasainya walau sudah mengikrarkan kesetiaan kepada PN. Tentu ramai masih ingat PKR walaupun parti komponen PH menggunakan logo sendiri dalam  Pilihan Raya Negeri Johor sebelum ini,” katanya.

PN sebelum ini memutuskan calonnya di Kelantan akan menggunakan logo Pas dalam PRU-15, sementara DAP di Sarawak semalam menyatakan akan menggunakan logo sendiri iaitu roket, bukannya PH.

Tambah Zahid lagi, BN kekal kekal dengan menggunakan logo dacing berwarna putih dan berlatarbelakangkan warna nila di lambang gabungan ini sejak dulu hingga kini.

“Rakyat wajar menilai perbezaan ini dalam membuat penentuan yang amat penting kepada Malaysia pada PRU15. Yakini BN satu-satunya gabungan politik menawarkan sebuah kemuafakatan serta perpaduan yang jujur dan ikhlas.

“Dunia sudah diramalkan bakal berdepan kemelesetan ekonomi global pada tahun depan dan negara kita perlu berada dalam posisi paling kukuh dan stabil untuk mendepaninya,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here