PKR gugurkan calon lama, beri laluan kepada peralihan kuasa – Anwar Ibrahim

0
27
Presiden Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada Malam Pengumuman Calon Keadilan di Padang MPAJ, Ampang, Selangor.MALAKAT TRIBUNE/MIM FADLIZAL ROZAIMAN

KUALA LUMPUR – Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan tindakan parti itu yang menggugurkan beberapa Ahli Parlimen dengan muka baharu sebagai satu kemestian bagi memberi laluan kepada peralihan kuasa bagi calon yang bertanding.

Katanya, proses pemilihan calon Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) sebagai satu tugasan sukar kerana terpaksa menggugurkan beberapa ‘pejuang’ lama yang telah berkhidmat kepada rakyat.

“Menggugurkan beberapa Ahli Parlimen yang telah menjadi sahabat lama dan menggantikannya dengan muka baharu tidak mudah kerana kita belum tahu bagaimana (pencapaian) mereka yang baharu.

“Tetapi kita berpendapat, mesti ada peralihan kuasa dalam parti, tidak boleh orang yang sama kekal. 

“Jadi saya harap rakan-rakan yang tidak mendapat tempat (menjadi calon) agar tidak berasa hati, ingat sumpah keramat bahawa perjuangan dalam parti bukan semata untuk menjadi calon sebaliknya, berjuang untuk membela nasib rakyat,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Presiden, Rafizi Ramli, berkata PKR adalah parti yang pertama memuktamadkan senarai calon yang akan bertanding pada pilihan raya itu pada 19 November ini.

Beliau berkata, PKR telah memuktamadkan senarai seminggu lebih awal bagi memberi ruang kepada calon untuk berkempen.

“Ini supaya calon yang dipertaruhkan oleh PKR dalam pilihan raya kali ini mempunyai lebih masa untuk mendekati rakyat dan memahami keluhan serta kesusahan yang dihadapi oleh mereka,” katanya yang juga Pengarah Pilihan Raya parti itu.

Dalam pada itu, Rafizi menyifatkan kerusi Parlimen Tambun yang ditandingi Anwar bukan kerusi mudah untuk dimenangi namun beliau sanggup mengambil risiko untuk memastikan gelombang kemenangan PH pada PRU15.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here