PM dijangka jumpa Agong hari ini minta bubar Parlimen  

0
42
Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

PETALING JAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob didakwa akan menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini untuk meminta pembubaran Parlimen.

Menurut aktivis dan blogger, Datuk Zaharin Mohd. Yasin, Ismail Sabri akan diiringi oleh Datuk Seri Ahmad Maslan mewakili Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bertolak ke Istana Negara menghantar surat bagi meminta Parlimen dibubarkan segera esok.

“Khabar cerita esok pagi (hari ini), Ismail Sabri akan diiringi oleh Datuk Seri Ahmad Maslan mewakili Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi akan pergi ke Istana negara menghantar surat bagi meminta Parlimen dibubarkan segera,” katanya dalam satu hantaran di Facebooknya, semalam. 

Walaubagaimanapun, menurut sumber, Istana Negara memberitahu, pihaknya masih belum menerima sebarang makluman berhubung kunjungan daripada Perdana Menteri. 

“Selalunya Perdana Menteri akan deal terus dengan Tuanku (Yang di-Pertuan Agong), kemudian baru kami diberitahu. Tetapi setakat ini belum ada apa-apa makluman lagi (tentang kunjungan dari Perdana Menteri),” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini. 

Terdahulu, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, pembubaran Parlimen akan dibuat tidak lama lagi dan pilihan raya akan diadakan tahun ini. 

“Pembubaran Parlimen akan dibuat tidak lama lagi dan pilihan raya akan diadakan tahun ini. Perdana menteri akan mempersembahkan cadangan tarikh pembubaran kepada Yang di-Pertuan Agong selaras dengan perkara 40 (1) Perlembagaan Persekutuan,” katanya. 

Beliau berkata demikian selepas Mesyuarat Majlis Tertinggi yang membincangkan perkara itu pada Jumaat. 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here