PM juga bakal terima nasib sama jika tidak bubarkan Parlimen segera – dakwa Ketua UMNO Alor Star

0
50
Datuk Yusof Ismail

CYBERJAYA – Ketua Bahagian UMNO Alor Star, Datuk Yusof Ismail berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berada dalam kedudukan bahaya dan bakal menerima nasib sama seperti dirinya yang digantung keahlian selama enam tahun jika tidak membubarkan Parlimen dengan segera.

Yusof berkata, meskipun belum dimaklumkan secara rasmi mengenai hukuman penggantungan itu, beliau yakin ia merupakan satu isyarat kepada mana-mana pemimpin UMNO yang tidak sebulu dengan Presiden UMNO termasuk Perdana Menteri.

“Saya percaya ini juga adalah isyarat kepada Perdana Menteri, jika Dewan Rakyat tidak dibubarkan segera, maka dia juga akan digantung seperti saya.

“Saya agak kesal kerana hukuman ini dilihat lebih berat berbanding hukuman ke atas bekas Ahli Majlis Tertingi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam yang lebih banyak memburukkan Perdana Menteri.

“Saya memang ada kritik Presiden, tetapi dibuat hanya dalam kumpulan WhatsApp Ketua Bahagian UMNO saja, Lokman kritik Perdana Menteri lebih banyak, tetapi hukuman ke atasnya tidak seberat saya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Yusof berkata, sejak dahulu lagi beliau memang dianggap bukan sebagai orang Presiden.

Mengulas mengenai sama ada beliau akan membuat rayuan, katanya, satu pertemuan akan dibuat terlebih dahulu dengan Perdana Menteri sebelum membuat tindakan lanjut.

Semalam, tersebar mesej selepas Mesyuarat MKT UMNO, selain Yusof turut digantung keahlian selama enam tahun ialah Ahli Parlimen Pasir Salah, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman.

Hukuman itu dibuat dipercayai kerana kritikan mereka yang dibuat terhadap Presiden UMNO.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here