PM mengadap Agong petang tadi, Parlimen mungkin dibubar seawal esok

0
42
Istana Negara

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, dilaporkan menghadap Yang di-Pertuan Agong hari ini untuk mendapatkan perkenan baginda bagi membubarkan Parlimen.

NST memetik sumber sebagai berkata bahawa parlimen mungkin dibubarkan seawal esok.

Majlis menghadap itu dilaporkan diadakan sehari sebelum Seri Paduka mengadakan lawatan khas ke London selama enam hari bermula esok.

Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno juga dilaporkan akan bermesyuarat malam esok.

Terdahulu, Perdana Menteri dan Seri Paduka menghadiri majlis sambutan Maulidur Rasul peringkat kebangsaan yang diadakan di Pusat Dagangan Dunia, Kuala Lumpur.

Pada majlis itu, Seri Paduka menitahkan semua agensi berkaitan membuat persediaan menyeluruh bagi menghadapi risiko banjir susulan Monsun Timur Laut.

Pada Jumaat lalu baginda dilaporkan telah diberikan taklimat mengenai keadaan monsun dan banjir akhir tahun.

UMNO sebelum ini mendesak Ismail untuk mengadakan pilihan raya tahun ini.

Bagaimanapun, pimpinan Pakatan Harapan (PH) dan PAS menegaskan Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri yang dikuasai mereka tidak akan dibubarkan tahun ini.

Ini bermakna sekiranya PRU diadakan, hanya akan membabitkan Parlimen di seluruh negara serta pilihan raya negeri di Pahang, Perak dan Perlis.

Melaka, Johor, Sabah dan Sarawak telah mengadakan pilihan raya negeri manakala Selangor, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Kelantan, Terenggau dan Kedah ditadbir oleh PH dan PAS.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here