PM tidak mohon bubar Parlimen, Belanjawan 2023 dibentang petang ini

0
33
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara semalam.

CYBERJAYA – Belanjawan 2023 dijadualkan dibentangkan petang ini oleh Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz di sebalik spekulasi yang bertiup kencang Parlimen akan dibubarkan hari ini.

Perkara itu disahkan selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tidak memohon perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk membubarkan Dewan Rakyat ketika majlis menghadap di Istana Negara petang semalam.

Istana Negara dalam kenyataan di Facebook malam ini, memaklumkan Seri Paduka berkenan menerima menghadap Perdana Menteri untuk mesyuarat pra-Kabinet.

Menurut kenyataan itu, mesyuarat pra-Kabinet adalah antara aktiviti mingguan atau rutin utama Seri Paduka untuk berbincang dan bertukar pendapat bersama Perdana Menteri berkenaan urusan dan isu-isu berkaitan kerajaan.

Perkembangan terbaharu itu, meredakan seketika desas desus dan spekulasi kononnya Dewan Rakyat akan dibubarkan sebelum pembentangan Belanjawan 2023 yang dijadual jam 4 petang hari ini.

Terdahulu petang tadi, Ismail Sabri diterima menghadap Yang di-Pertuan Agong, selama kira-kira sejam. Kenderaan Toyota Alphard putih yang membawa Perdana Menteri memasuki Istana Negara pada jam 3.49 petang, sebelum keluar menerusi pintu utama pada jam 4.45 petang.

Ketika meninggalkan Istana Negara, Ismail Sabri hanya melambai tangan kepada pengamal media yang berkampung di hadapan pintu utama seawal jam 7.30 pagi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here