PM UK letak jawatan selepas 44 hari berkhidmat

0
19
Liz Truss

LONDON – Perdana Menteri Britain, Liz Truss mengumumkan peletakan jawatan selepas hanya 44 hari berkhidmat.

Truss menjadi Perdana Menteri paling singkat tempoh perkhidmatannya dalam sejarah United Kingdom.

Beliau terpaksa akur untuk berundur selepas strategi pemotongan cukainya mendapat tentangan serta mencetuskan keadaan pecah belah dalam kalangan ramai Ahli Parlimen Konservatif.

Dalam satu sidang media di Downing Street, Truss berkata, beliau akan kekal sebagai Perdana Menteri sehingga penggantinya dipilih untuk memimpin parti tersebut.

“Kami telah bersetuju bahawa pemilihan kepimpinan akan diselesaikan dalam tempoh minggu depan.

“Kita akan memastikan bahawa kita kekal pada landasan yang betul untuk menyampaikan pelan fiskal serta mengekalkan kestabilan ekonomi dan keselamatan negara.

“Saya akan kekal sebagai Perdana Menteri sehingga pengganti dipilih,” katanya.

Kemuncak kepada kemelut politik Truss sebagai Perdana Menteri tercetus selepas seorang menteri kanan meletak jawatan di samping ahli-ahli Parlimen Parti Konservatif yang memberontak semasa satu undian penting dalam suasana huru-hara di Dewan Rakyat lewat semalam.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here