PN bantah PRU15 diadakan tahun ini

0
15
Bendera Perikatan Nasional

CYBERJAYA – Perikatan Nasional (PN) berpendirian bahawa Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tidak wajar diadakan pada tahun ini memandangkan Monsun Timur Laut akan bermula tidak lama lagi.

Menurut Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin, lebih memburukkan keadaan apabila terdapat negeri terutamanya di Pantai Timur dijangka dilanda banjir.

“Mengadakan pilihan raya semasa musim banjir tentunya akan menjejaskan perjalanan pilihan raya di samping menyusahkan rakyat.

“Kerajaan mesti memberi fokus kepada persiapan menghadapi musim banjir di samping terus memberi tumpuan kepada usaha mempercepatkan proses pemulihan negara pasca pandemik,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada masa sama katanya, rakyat sedang terbeban dengan masalah inflasi, kenaikan harga barang dan kejatuhan nilai ringgit di samping proses pemulihan negara yang masih perlahan.

Muhyiddin berkata, sepatutnya penyelesaian kepada permasalahan itu mesti diberikan tumpuan sepenuhnya oleh kerajaan terutama menerusi Bajet 2023.

Sementara itu, Muhyiddin juga meminta anggota jemaah menteri dari PN untuk mempertegaskan pendirian ini di dalam Mesyuarat Jemaah Menteri.

Selain itu, katanya, semua ahli Parlimen PN juga diminta mengambil pendirian yang sama.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here