PN: Penggunaan logo dalam PRU15 dimuktamadkan sebelum hari penamaan calon

0
9

TASEK GELUGOR – Penggunaan logo bagi calon Perikatan Nasional (PN) yang bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan dimuktamadkan sebelum proses penamaan calon.

Ketua Penerangan BERSATU, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, perkara itu akan diputuskan oleh Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) yang akan bersidang dalam masa terdekat.

Katanya, sebelum itu ada perbincangan dibuat namun ia masih belum muktamad kerana masing-masing mempunyai pandangan serta cadangan tersendiri.

“Dalam PN selagi mana belum ada keputusan dibuat di peringkat pusat, maka setiap parti bebas menyuarakan pandangan dan cadangan masing-masing.

“Bagi saya cadangan PAS (guna logo parti mereka) perlu dibincangkan dan pastinya ia akan dibincangkan di peringkat MPT PN yang mana apabila keputusan dibuat Insya-Allah semua akan ikut.

“Sebelum ini ada perbincangan sikit tetapi belum muktamad, sebab tu dalam PAS ada pandangan, begitu juga dengan BERSATU dan Gerakan, masing-masing mempunyai pandangan.

“Itu menunjukkan kita belum capai keputusan muktamad dan kita raikan pandangan yang mana dalam meraikan, sudah pasti setiap parti ada hujah masing-masing,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas diminta mengulas mengenai penggunaan logo PN dalam PRU15 nanti ketika hadir pada Majlis Jelajah Prihatin Parlimen Tasek Gelugor, di Pulau Pinang malam tadi.

Mengulas lanjut, Wan Saiful berkata, beliau percaya bahawa MPT PN akan membuat keputusan terbaik untuk memastikan gabungan itu menggunakan satu logo bagi menunjukkan kesatuan antara mereka, pada masa sama mahu memudahkan rakyat membuat pilihan.

“Keputusan (penggunaan logo) akan dimuktamadkan sebelum penamaan calon dan kita tunggu pengumuman. Kita harap apabila keputusan dibuat semua ikut dan akur dengan pimpinan tertinggi,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan, Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man memutuskan untuk menggunakan logo parti itu khususnya di Kelantan, Terengganu dan Kedah pada PRU15.

Beliau dilaporkan berkata, di negeri lain kemungkinan besar akan menggunakan logo PN dan perkara itu sudah dimuktamadkan serta akan dibawa ke MPT PN.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here