PN putuskan tiada kerjasama dengan GTA – Muhyiddin

0
402
Tan Sri Muhyiddin Yassin

PETALING JAYA: Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin menafikan mengadakan perbincangan dengan gabungan Gerakan Tanah Air (GTA) bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Muhyiddin berkata, PN mengambil keputusan untuk menghadapi PRU15 dengan parti komponen sedia ada.

“Tak ada langsung perbincangan (dengan GTA)… kita putuskan untuk meneruskan atas inisiatif gabungan sedia ada sahaja.

“Bukan tak nak bekerjasama tetapi kita putuskan untuk buat apa yang kita susun sejak awal, masing-masing akan teruskan dengan agenda PN, bukan PN Plus dan sebagainya,” katanya memetik laporan Astro Awani hari ini.

Terdahulu beliau ditemui media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Presiden PN di ibu pejabat Bersatu.

Dalam masa sama, Muhyiddin menafikan dakwaan terdapat perbincangan yang belum dimuktamadkan dengan GTA kerana beberapa isu yang belum selesai.

“Saya tak tahu di mana ada perundingan kerana ia tak sampai ke peringkat tertinggi. Bagi saya, ia tak penting kerana di peringkat parti tak ada perbincangan rasmi, mungkin ada hajat sahaja,” tambah beliau.

Terdahulu, Pengerusi GTA, Tun Dr Mahathir Mohamad mendedahkan rundingan dengan PN sedang berjalan untuk menentukan bentuk kerjasama termasuk kemungkinan memastikan calon mereka tidak bertindih.

Sehubungan itu, Dr Mahathir berharap rundingan tersebut dapat dimuktamadkan dalam tempoh dua hari dari sekarang.

Dalam pada itu, Muhyiddin memaklumkan PN telah berjaya memuktamadkan pembahagian kerusi antara parti komponen PN dan ia akan diumumkan dalam beberapa hari lagi.

“Kita sudah buat peraturan setiap kawasan, bilik gerakan dan operasi adalah atas bumbung PN.

“Kita akan keluarkan arahan agar parti komponen saling membantu, ini untuk memperkukuh langkah jentera kita dan paling penting dapat kemenangan ikut kawasan masing-masing,” kata Muhyiddin lagi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here