Prestasi ringgit berbanding dolar AS hanya satu indikator ekonomi – Gabernor BNM

0
6

KUALA LUMPUR – Prestasi ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) tidak mencerminkan keadaan sebenar ekonomi negara.

Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus berkata, ini adalah kerana kadar pertukaran hanya merupakan satu daripada banyak indikator yang menunjukkan keadaan ekonomi.

Justeru, adalah penting untuk melihat kepada kekuatan dan prestasi positif ekonomi Malaysia dari segi pertumbuhan ekonomi yang kukuh, pasaran tenaga kerja baik dan sistem kewangan berdaya tahan yang terus memainkan peranannya dengan efektif.

“Lagipun, Malaysia mempunyai kedudukan luaran yang kukuh dengan lebih banyak aset mata asing berbanding liabillti mata wang asing.

“Pinjaman mata wang asing hanya menyumbang kurang daripada tiga peratus daripada jumlah hutang kerajaan persekutuan,” katanya dalam ucapan beliau yang bertajuk ‘Navigating Malaysia’s Economic Transition in a post-Covid world’ (Mengemudi Peralihan Ekonomi Malaysia dalam dunia pasca Covid) pada Forum Khazanah Megatrends 2022, di sini hari ini.

Nor Shamsiah berkata, sejak Januari tahun ini, nilai ringgit menyusut lebih daripada sembilan peratus berbanding dolar AS.

Menurutnya, kekuatan dolar adalah fenomena global bukan hanya berlaku kepada mata wang Malaysia sahaja.

Malahan, katanya, dolar AS kini berada di paras tertinggi dalam tempoh dua dekad berikutan langkah mengetatkan dasar monetari yang agresif oleh Rizab Persekutuan AS (Fed) yang menaikkan kadar dasarnya sebanyak 300 mata asas tahun ini.

Beliau berkata, sentimen mengelak risiko yang berpunca daripada konflik geopolitik serta prospek pertumbuhan global yang menyederhana telah meningkatkan lagi permintaan terhadap aset dolar.

Menurutnya, mata wang ekonomi utama lain juga turut menyusut berbanding dolar AS.

“Jika kita melihat bagaimana prestasi ringgit berbanding mata wang rakan dagang kita, unit tempatan meningkat berbanding yang lain dan menyusut berbanding yang lain.

“Malah, prestasi ringgit, sekiranya dibandingkan dengan mata wang rakan dagang Malaysia, secara relatifnya stabil. Ini menunjukkan bahawa kita kini berada dalam persekitaran dolar AS yang kukuh,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here