Produk Skin Dessert antara 5 produk kosmetik dikesan mengandungi racun

0
1289
Kenyataan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) Kementerian Kesihatan (KKM).

KUALA LUMPUR – Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) Kementerian Kesihatan (KKM) menggesa orang ramai mengelak daripada membeli dan menggunakan lima produk kosmetik yang dikesan mengandungi racun berjadual.

KKM menerusi satu kenyataan berkata, produk tersebut ialah Karisma Bird Nest Gel, Haemun Cream, Sweet 13 Skincare Treatment Cream, Ninaskincare Skin Puteh Moisturiser dan Skin Desert Cream.

KKM mendapati produk-produk berkenaan mengandungi bahan racun seperti hydroquinone, tretinoin, miconazole dan merkuri.

“Susulan daripada itu, notifikasi produk-produk kosmetik terlibat telah dibatalkan oleh Pengarah Kanan Perkhidmatan Farmasi, KKM dan tidak lagi dibenarkan untuk dijual di Malaysia.

“Produk yang mengandungi hydroquinone, tretinoin dan miconazole adalah ubat yang perlu berdaftar dengan Pihak Berkuasa kawalan Dadah dan hanya boleh digunakan dengan nasihat ahli profesional kesihatan.

“Merkuri dilarang di dalam produk kosmetik kerana boleh memudaratkan kesihatan. Ia boleh diserap masuk ke dalam badan dan menyebabkan kerosakan pada buah pinggang dan sistem saraf,”katanya dalam kenyataan itu.

Dalam pada itu, KKM juga mengarahkan pengedar dan penjual untuk menghentikan penjualan produk-produk kosmetik tersebut dengan serta-merta sebelum dikenakan tindakan undang-undang.

“Penjualan dan pengedaran produk-produk kosmetik ini adalah melanggar Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan kosmetik 1984.

“Individu yang melanggar peraturan ini boleh denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama dan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan berikutnya,”katanya.

Selain itu, KKM juga menasihatkan orang ramai untuk menyemak status notifikasi sesuatu produk kosmetik dengan melayari laman sesawang rasmi NPRA www.npra.gov.my atau melalui aplikasi ‘NPRA Product Status’ yang boleh dimuat turun daripada Google Play Store.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here