Proklamasi, Ordinan Darurat Covid-19 berkaitan pilihan raya dibatalkan berkuat kuasa semalam

0
11
Gambar hiasan

CYBERJAYA – Enam proklamasi dan ordinan darurat yang diisytiharkan kerajaan bagi menangguhkan pilihan raya sepanjang tempoh usaha menangani penularan pandemik Covid-19 di negara ini, kini dibatalkan.

Menurut laporan BH Online, perintah pembatalan proklamasi darurat itu dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara, semalam.

Pembatalan itu membabitkan Proklamasi dan Ordinan Darurat di Parlimen P054 Gerik, Perak, yang dibuat pada 12 Disember 2020.

Turut dibatalkan ialah proklamasi dan ordinan darurat terhadap Parlimen P185 Batu Sapi, Sabah yang dibuat pada 18 November 2020.

Berikutan pembatalan Ordinan-ordinan Darurat tersebut, pilihan raya boleh diadakan di semua kawasan pilihan raya.

Selain itu, pembatalan juga dibuat terhadap proklamasi serta ordinan darurat kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) N66 Bugaya, Sabah yang dibuat pada 12 Disember 2020.

Semua proklamasi darurat itu sebelum ini dikuatkuasakan kerana penularan pandemik Covid-19 yang mengancam keselamatan, kehidupan ekonomi dan ketenteraman awam.

Pembatalan proklamasi itu dibuat menerusi Warta Kerajaan Persekutuan yang disiarkan oleh Jabatan Peguam Negara.

Berdasarkan warta itu, Yang di-Pertuan Agong berpuas hati bahawa keperluan Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) yang diisytiharkan susulan wabak Penyakit Koronavirus 2019 (Covid-19) itu telah berakhir.

Susulan itu, tindakan pembatalan semua ordinan darurat berkenaan dikehendaki dan dimasyhurkan menerusi suatu ordinan oleh Yang di-Pertuan Agong mengikut Fasa (2B) Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan yang dinamakan Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu)(No 2)(Pembatalan) 2022. .

Difahamkan, susulan pembatalan ordinan dan proklamasi terbabit, pilihan raya kini boleh diadakan terhadap semua kawasan Parlimen di seluruh negara.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here