PRU-15: KKM syor individu positif Covid-19  dibenar mengundi

0
4
Khairy Jamaluddin

CYBERJAYA – Kementerian Kesihatan (KKM) akan melaksanakan prosedur operasi standard (SOP) COVID Safe Election dengan mengesyorkan individu positif Covid-19 dibenar menjalankan tanggungjawab sebagai pengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Menterinya, Khairy Jamaluddin berkata, kebenaran itu akan dimuktamadkan dan disyorkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam masa terdekat, dengan pematuhan SOP yang ketat.

Selain itu, Khairy menjelaskan, SOP baharu itu akan turut membenarkan calon-calon untuk menjalankan aktiviti kempen seperti biasa sepanjang PRU15.

Bagaimanapun, Khairy berkata, perkara itu tertakluk kepada kepada keputusan SPR dan SOP pilihan raya oleh suruhanjaya tersebut.

“Hak mengundi bagi mereka yang positif jadi saya sedang melihat bahawa mereka yang positif dan menjalani pengasingan di rumah dan bukan kes kritikal di hospital boleh mengundi, (kerana) dulu kita tak benarkan (semasa kes Covid-19 tinggi).

“SOP nanti SPR akan umumkan, kita ada SOP tertentu seperti bila dia sampai kena kenalkan diri kaunter pendaftaran SPR, dan ada mungkin laluan tertentu untuk mereka mengundi nanti, wajib pakai pelitup muka dan sebagainya.

“Saya telah pertimbangkan isu ini dengan mendalam dan saya melihat bahawa hak mereka untuk mengundi seperti mana termaktub dalam Perlembagaan, adalah hak yang sangat penting,” katanya seperti dilaporkan Astro Awani.

Khairy menjelaskan, KKM memberi jaminan bahawa pelaksanaan SOP berkenaan tidak akan memudaratkan orang ramai yang keluar mengundi ke pusat-pusat pengundi.

Dalam pada itu beliau menambah, SOP tersebut juga boleh dilaksanakan walaupun Kabinet ketika ini berfungsi secara sementara memandangkan ia bersifat kepentingan awam.

“Apa-apa keputusan yang ada kepentingan awam boleh dilaksanakan dan ini (SOP pengundian) termasuk dalam keputusan untuk kepentingan awam.

“Lagi pun arahan saya untuk adakan perbincangan dengan SPR sudah dibuat sebelum Parlimen dibubar dan kita fikir panjang di KKM,” jelas Khairy.

Pada Isnin, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pembubaran Parlimen berkuat kuasa pada 10 Oktober selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.

Sementara itu, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali berkata, Kabinet ketika ini berfungsi sebagai kerajaan sementara atau “caretaker” dengan Mesyuarat Kabinet masih boleh dijalankan seperti biasa walaupun Parlimen telah dibubarkan.

Bagaimanapun, beliau berkata, Kabinet tidak boleh membuat sebarang keputusan dasar walaupun masih boleh menasihati Yang di-Pertuan Agong dalam soal pentadbiran negara.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here