PRU-15: UMNO jangan rasa diri terlalu besar -Radzi Jidin

0
62
Dr Radzi Jidin berucap pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Pelaksanaan Projek Pembinaan Kompleks Sekolah Presint 15, di sini, hari ini.

PUTRAJAYA – Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu (BERSATU), Datuk Dr Radzi Jidin hari ini menempelak keputusan UMNO untuk mengadakan Pilihan Raya Umum (PRU-15) pada tahun ini tanpa memikirkan nasib rakyat yang bakal berdepan cabaran banjir pada setiap hujung tahun.

Radzi berkata, pengumuman terbaharu yang diumumkan Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan itu jelas menunjukkan UMNO meletakkan kepentingan politik mengatasi segalanya.

“Inilah UMNO, dia rasa dia besar sangat. Dia tak tahu yang rakyat Malaysia ini lagi besar.

“Tapi dalam apa juga keadaan ada pihak yang meletakkan kepentingan politik melebihi segalanya dan ini menyukarkan rakyat. Tapi rakyat tahu apa pilihan terbaik apabila sampai PRU-15 nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Penyerahan Pelaksanaan Projek Pembinaan Kompleks Sekolah Presint 15, Putrajaya hari ini.

Menurut Dr.Radzi, keputusan mengadakan PRU-15 pada hujung tahun bukan sahaja membebankan rakyat bahkan menyulitkan pihak pengurusan sekolah yang mungkin memerlukan kemudahan itu untuk tujuan pemindahan mangsa-mangsa banjir.

Beliau berkata, Bersatu sebagai sebuah parti bersedia untuk menghadapi pilihan raya namun lebih memilih pendekatan yang mengutamakan kepentingan rakyat.

“Kalau hari-hari bangun pagi bercakap pasal pilihanraya kita tak ke mana kerana ini (PRU) akan menimbulkan kesulitan sebab sekolah diperlukan untuk kegunaan pemindahan semasa banjir.

“Mengambil kira kesusahan rakyat sejak dua tahun lalu, kita ada rasa simpati dan rasa belas kasihan kepada rakyat,” katanya.

Justeru beliau menegaskan supaya UMNO melihat keperluan rakyat dan menerima hakikat bahawa rakyat tidak mahu pilihan raya diadakan pada musim banjir.

“Dalam hidup ini bukan semuanya pasal pilihan raya, ada banyak perkara yang perlu diberikan keutamaan.

“Jadi tumpuan kita (Bersatu) adalah perkara-perkara yang berkait dengan kebajikan rakyat dan kita tahu bahawa rakyat tak nak PRU diadakan pada waktu banjir,” katanya.

Bagaimanapun kata beliau, sebagai Menteri Kanan Pendidikan, pihaknya sentiasa bersedia untuk memberi kerjasama sekiranya keputusan mengadakan PRU-15 diteruskan tahun ini.

“Dalam konteks keperluan menggunakan sekolah, kementerian sentiasa memberi kerjasama dan sokongan sama ada untuk menggunakan sekolah sebagai pusat pemindahan banjir ataupun sebagai pusat pengundian

“Ini sebahagian daripada tindakan kita sejak sekian lama. Dalam apa juga keadaan, kalau perlukan untuk banjir (sekolah) maka kami bersedia,” katanya.

Mengulas mengenai desas-desus beliau akan bertanding di Kerusi Parlimen Putrajaya pada PRU-15 ini, beliau menyerahkan keputusan kepada pucuk pimpinan parti.

“Soalan itu sudah ditanya banyak kali, apa sahaja keputusan parti nak suruh saya bertanding kat mana atau tak payah bertanding, saya akan akur,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here