PRU15: 60 peratus calon UMNO Pulau Pinang muka baharu

0
31

GEORGETOWN – Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang sudah menyerahkan senarai nama calon kepada pucuk pimpinan pusat bagi 13 kerusi Parlimen di negeri itu untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Laporan portal BN News menyebut Pengerusi BN negeri, Datuk Musa Sheikh Fadzir sebagai berkata, senarai calon bagi 40 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) juga telah dihantar kepada pimpinan pusat berikutan cadangan DAP Pulau Pinang supaya DUN Pulau Pinang dibubarkan serentak dengan Parlimen untuk PRU15.

“Kami juga menunggu keputusan kerajaan negeri Pulau Pinang sama ada mahu membubarkan DUN bagi mengadakan pilihan raya serentak dengan Parlimen atau sebaliknya. Jika tidak bubar DUN, fokus kepada jentera Parlimen sahaja,” kata Musa.

Sebelum ini, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke berkata, DAP Pulau Pinang telah mencadangkan supaya DUN Pulau Pinang dibubarkan dan perkara itu akan dibincangkan dalam Mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH).

Selain itu, Musa yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang berkata, 60 peratus nama calon UMNO yang diserahkan kepada pucuk pimpinan itu merupakan muka baharu.

Pada PRU14, BN Pulau Pinang bertanding di 40 kerusi DUN dan 13 Parlimen dengan Gerakan di 13 DUN serta empat Parlimen, UMNO (15 DUN, lima Parlimen), MCA (10 DUN, empat Parlimen manakala MIC di dua DUN.

Pada 23 Jun 2018, Gerakan secara rasmi keluar daripada BN susulan kekalahan gabungan itu dalam PRU14 dan menyertai PN pada Februari tahun lalu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here