PRU15: Anwar diumum secara rasmi calon PM dari PH, sah bertanding di Parlimen Tambun

0
52
Datuk Seri Anwar Ibrahim

IPOH – Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim secara rasmi diumumkan secara rasmi sebagai calon Perdana Menteri bagi Pakatan Harapan (PH) jika mereka menang pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Perkara itu diumumkan Ketua Setiausaha PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution ketika Konvensyen Harapan yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa (ICC) Ipoh pada malam tadi.

Saifuddin Nasution berkata, Anwar disifatkan sebagai pemimpin berpengalaman dan sudah teruji daripada pelbagai sudut adalah individu paling layak memegang amanah tersebut.

“Memasuki PRU15, PH menawarkan kepada rakyat Malaysia satu nama jika mandat diberikan kepada kita, calon Perdana Menteri ialah Anwar Ibrahim,” katanya.

Sementara itu, dalam ucapannya Anwar mengumumkan untuk bertanding di Parlimen Tambun dalam PRU akan datang.

Pengerusi PH itu berkata, keputusan beliau menentang Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu di Parlimen Tambun sejajar dengan keazaman PH untuk menawan negeri Perak.

Menurutnya, beliau sedia berdepan Ahmad Faizal dan yakin mampu mengalahkan Ahli Parlimen Tambun itu.

“Saya akan berlabuh di Tambun. Saya mahukan Perak, maka saya akan terjun bersama-sama politik negeri ini, saya tak memilih untuk bertanding di kawasan mudah dan menang majoriti besar, saya ketua, jadi saya berani merempuh untuk menawan Parlimen Tambun.

“Saya datang bersama keyakinan untuk merampas Parlimen Tambun dan Perak, walaupun saya tahu ada nama besar di situ (Tambun) ini kesediaan saya, saya mahu tunjukkan bahawa tidak mustahil (menang) kerana kita yakin kesedaran rakyat,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here