PRU15: DRJ janji cipta era baharu bagi Putrajaya

0
45
Datuk Dr Radzi Jidin diumumkan sebagai calon PN bagi kerusi Parlimen Putrajaya oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam.

PUTRAJAYA – Calon Perikatan Nasional (PN) bagi Parlimen Putrajaya, Datuk Dr Radzi Jidin bersedia untuk mencipta era baharu bagi pusat pentadbiran kerajaan persekutuan itu sekiranya menang dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang.

Radzi yang juga Menteri Kanan Pendidikan berkata, beliau turut merakamkan ucapan terima kasih di atas pemilihan itu dan berjanji akan menggalas amanah yang diberikan dengan sebaiknya.

“Pengumuman oleh Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin semasa program Jelajah Prihatin Putrajaya malam tadi merupakan satu penghormatan dan amanah yang akan saya galas sebaiknya, insya-Allah.

“Terima kasih Tan Sri Muhyiddin, pucuk pimpinan PN serta kepimpinan Bersatu atas kepercayaan yang diberikan. Memetik kata-kata Tan Sri Muhyiddin semalam, keberadaan kita adalah untuk mewujudkan sebuah Kerajaan dan kepimpinan yang baik, prihatin, amanah dan penuh integriti yang dapat melaksanakan pembangunan menyeluruh sehingga Malaysia kembali menjadi negara hebat dan disegani.

“Saya bertekad untuk memberikan yang terbaik bagi memastikan perubahan berlaku dalam arena politik negara, bermula dari Putrajaya,” katanya dalam satu hantaran menerusi laman Facebooknya hari ini.

Semalam teka teki mengenai calon PN yang akan bertanding dalam PRU15 di Parlimen Putrajaya berakhir apabila Radzi diumumkan secara rasmi sebagai calon kerusi panas itu.

Radzi dijangka bertembung dengan penyandang kerusi Parlimen itu daripada Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Dalam pada itu, Radzi berkata, kerusi Parlimen itu juga tidak asing bagi dirinya kerana menetap di Putrajaya selepas berkhidmat sebagai menteri Kabinet

“Sedikit sebanyak permasalahan penduduk telah saya selami selain dikongsikan sendiri warga Putrajaya sama ada ketika program rasmi atau pertemuan biasa.

“Insya-Allah, dengan amanah yang diberikan oleh PN ini, saya akan perjuangkan suara warga Putrajaya dan ikhtiarkan sebaiknya demi kesejahteraan penduduk.

“Saya percaya dengan kerjasama dan dokongan seluruh jentera PN, tidak terkecuali setiap warga Putrajaya, kita semua mampu mencipta era baharu Putrajaya,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here