PRU15: Lebih 13,000 cawangan Pemuda UMNO siap sedia bantu rakyat hadapi musim banjir 

0
3
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki (tengah) dalam satu sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco Pergerakan Pemuda UMNO di menara Dato Onn di sini, hari ini. Kredit foto: Najmi Zulkefle

KUALA LUMPUR – Lebih 13,000 cawangan Pemuda UMNO dan Barisan Nasional (BN) di seluruh negara diarahkan untuk bersiap sedia membantu rakyat sekiranya berlaku banjir dalam tempoh Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan.

Kata Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, Pemuda UMNO sentiasa membantu dan bersiap sedia sekiranya berlaku banjir kilat atau musibah banjir dalam tempoh kempen PRU kali ini.

“13,205 cawangan pemuda UMNO dan BN seluruh Malaysia sentiasa membantu dan bersiap sedia sekiranya berlaku banjir kilat atau berlaku musibah banjir dalam tempoh kempen pilihan raya.

“Ini adalah perkara yang biasa dilakukan oleh Pemuda dan kita harus memanfaatkan perkara ini dengan pemuda yang ramai kita pasti dapat tolong dan menjadi orang pertama membantu pihak berkuasa dan kerajaan dalam menangani musibah banjir,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco Pergerakan Pemuda UMNO di menara Dato Onn di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, ada pihak yang sengaja membangkitkan isu banjir seolah-olah kerajaan tidak wujud sedangkan yang berkempen hanya kerajaan bukannya pihak berkuasa.

“Ramai orang di luar sana memainkan isu banjir seolah-olah kerajaan tidak wujud lagi sedangkan kerajaan masih ada dan yang berkempen bukannya bomba, PDRM dan Rela.

“Yang berkempen adalah orang parti politik bahkan kalau apa pun berlaku saya percaya kerajaan memang sudah bersiap sedia kerana pihak metrologi telah memberikan amaran musim tengkujuh akan berlaku pada bulan mendatang,” ujarnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here