PRU15 medan terbaik tamatkan riwayat politik Dr. Mahathir, Anwar

0
11
SHAMSUL ANUAR

CYBERJAYA – Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) merupakan medan terbaik kepada rakyat Perak khususnya di Tambun untuk menamatkan riwayat politik Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pengarah Komunikasi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah berkata, bukan Anwar sahaja malah riwayat politik Tun Dr Mahathir Mohamad juga perlu dinoktahkan.

“Kita mesti jadikan PRU15 medan menamatkan hayat politik Anwar dan Dr Mahathir kerana dua watak ini telah merugikan negara sejak sekian lama.

“Bahkan ini kesempatan terbaik kepada orang Perak untuk menamatkan hayat politik Anwar. Biar Tambun menjadi bukti sejarah Anwar hilang pengaruh di sini,” katanya dalam satu hantaran laman Facebook miliknya, hari ini.

Shamsul Anuar berkata, usaha untuk menewaskan Anwar bukan bermakna BN mahu memberi kemenangan kepada Bersatu sebaliknya parti pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin itu juga perlu dikalahkan pada 19 November ini.

“Kita yakin pertandingan tiga penjuru akan memberikan kelebihan kepada calon BN,” tambahnya lagi.

Dalam pada itu, Shamsul tidak menafikan kehadiran Anwar itu boleh meningkatkan motivasi serta semangat jentera BN Perak untuk bekerja dengan lebih kuat selepas ini.

“Saya harap kita sedar, pimpinan Pakatan Harapan (PH) termasuk Anwar sering bertukar kawasan bertanding setiap kali pilihan raya.

“Ini kerana semasa mereka menjadi wakil rakyat di kawasan sebelumnya, mereka tidak bekerja untuk rakyat.

“Sebab itu mereka berpindah kawasan. Anwar dari Port Dickson ke Tambun. Jadi pemilih di Parlimen Tambun jangan tersilap langkah. Pilihan terbaik adalah BN,” katanya lagi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here