PRU15: MUDA mahu kerusi diagih dengan adil, saksama

0
7
MUDA

JOHOR BAHRU – Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) mahukan kerusi bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diagihkan dengan adil bersama rakan sekutunya, Pakatan Harapan.

Timbalan Presiden MUDA, Amira Aisya Abd Aziz berkata, pihaknya masih belum mengetahui akan bertanding di kawasan mana kerana rundingan rasmi MUDA bersama PH masih belum bermula.

“Sebagai Pengarah Pilihan Raya MUDA, saya telah berhubung dengan pimpinan PH untuk adakan rundingan dalam masa terdekat.

“Jika bergerak dalam sebuah gabungan, MUDA akan pastikan prinsip sandangan sedia ada (incumbency) diguna pakai untuk merunding kerusi.

“Sudah tentu juga, kerusi perlu diagih adil dan saksama,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Amira berkata, pada 6 September lepas, MUDA telah adakan ketetapan untuk bergerak bersama PH.

Katanya, parti itu juga telah bersetuju dengan syarat ditetapkan termasuk calon Perdana Menteri Majlis Presiden PH.

“Syarat kedua adalah untuk pastikan rundingan tidak menyentuh kepada kerusi sandangan sedia ada (incumbency) dan ketiga adalah sekiranya MUDA ingin mengadakan perbincangan dengan parti ataupun koalisi lain, MUDA perlu mendapat persetujuan Majlis Presiden PH.

“MUDA bersetuju dengan ketiga-tiga syarat tersebut.Pada 12 Oktober, PH memutuskan untuk adakan Pakatan Pilihan Raya kerana hal-hal teknikal seperti kelulusan ROS dan sebagainya.

“MUDA setuju. Bagi MUDA, fokus paling utama adalah bergerak bersama dalam PRU15. MUDA juga berharap agar sebagai sebuah pakatan pilihanraya, MUDA dapat berunding dengan baik dan tertib dengan PH,” katanya.

Sementara itu beliau turut melahirkan perasaan kecewa apabila rundingan kerusi secara rasmi bersama PH masih belum bermula.

“Sebagai Pengarah Pilihanraya MUDA, saya telah berhubung dengan pimpinan PH untuk berjumpa dengan Mesyuarat Majlis Presiden PH dan adakan rundingan secara rasmi dalam masa terdekat. Namun masih belum ada mesyuarat rasmi ditetapkan.

“Fokus pilihan raya ini bagi MUDA adalah untuk memberi tawaran terbaik kepada rakyat dalam melawan kerajaan UMNO-BN.

“MUDA ingin satu rundingan rasmi bersama Majlis Presiden PH diadakan dan dimuktamadkan dengan segera agar kita dapat menghadapi pilihan raya dengan sebulat tekad dan suara,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here